KUALA LUMPUR – Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara, Rexy Mainaky menegaskan, perancangan jangka panjang merupakan antara faktor pihaknya melakukan rombakan terhadap gandingan beregu lelaki utama kebangsaan.
Beliau menjelaskan, tindakan itu dibuat berdasarkan hasil perbincangan bersama ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi serta Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei.
Menurut Rexy, tindakan memecahkan gandingan-gandingan utama negara bukanlah disebabkan faktor hilang keyakinan kepada pasangan sedia ada seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik kerana ia merupakan salah satu usaha bagi memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik 2028 nanti.
“Kita melihat ke depan untuk 2028. Bukanlah kerana kita sudah tidak yakin dengan Aaron dan Wooi Yik tetapi kita juga perlu melihat kepada pemain-pemain muda yang sudah menunjukkan banyak peningkatan.
“Mengapa kita tidak cuba untuk membuat kombinasi baharu antara pemain muda dan berpengalaman? Mungkin daripada percubaan ini kita dapat melihat potensi gandingan yang mampu menjadi sandaran,” katanya menerusi satu rakaman video hari ini.
Berdasarkan perkembangan baharu yang dikongsi BAM, Aaron Chia akan bergandingan bersama Aaron Tai manakala Wooi Yik bakal berpasangan dengan Man Wei Chong pada Terbuka China, Terbuka Taiwan dan Terbuka Korea.
Sementara itu, Aaron Chia yang pada awalnya dikatakan bakal beraksi di Terbuka Jepun bersama Tee Kai Wun tidak akan menyertai kejohanan Jelajah Dunia Super 750 itu atas faktor kutipan mata.
Mengulas lanjut, Rexy menjelaskan, sebarang keputusan yang dibuat nanti adalah berdasarkan faktor keserasian corak permainan dan bukan disebabkan sekadar menggandingkan pemain-pemain terbaik.
“Kita tidak boleh fikir apabila dua pemain bagus digandingkan, hasil menjadi lebih bagus. Apa yang paling penting adalah keperluan di dalam gelanggang.
“Aaron (Chia) memerlukan pasangan yang macam mana, begitu juga dengan pemain-pemain lain. Itu yang akan menjadi pertimbangan utama bagi menentukan gandingan,” ujar jurulatih dari Indonesia itu.
Tambah beliau, kesemua pasangan baharu itu masih berada dalam fasa penilaian dan tidak semestinya akan menjadi beregu tetap selepas ini. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
8















![[VIDEO] Cemas zink melayang dalam pusaran angin](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/usaran-angin.jpeg)






























