ARAU – Seorang pelajar yang didiagnos mengalami gangguan hiperaktif dan masalah tumpuan (ADHD) teruja apabila berjaya menyambung pengajian ke Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini.
Menurut Aqeef Dzakeeryn Muhammad Hasbee, 18, dari Jitra, Kedah, dia amat gembira apabila diterima masuk ke UniMAP dan percaya pilihannya adalah tepat.
Dalam keterujaan ditawarkan Diploma Kejuruteraan Mekatronik, dia mengakui gementar dan berharap perjalanan sebagai mahasiswa di UniMAP dipermudahkan.
“Saya juga merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang yang sama di universiti ini selepas tamat diploma nanti,” katanya di sini hari ini.
Aqeef Dzakeeryn merupakan antara 2,000 pelajar baharu yang mendaftar di UniMAP bagi sesi akademik 2026/2027.
Dia berharap akan mendapat sokongan sepenuhnya daripada rakan-rakan baharu dan pihak pengurusan universiti dalam usaha merealisasikan cita-cita bergelar jurutera avionik.
“Saya berharap rakan-rakan istimewa seperti saya tidak sesekali mengalah kerana apa jua diagnosis bukanlah penamat kehidupan, sebaliknya permulaan kepada usaha yang lebih tersusun. Oleh itu, kekal fokus dan jangan terlalu banyak berfikir,” ujarnya.
Sementara itu, ibunya, Dr. Zuriana Zahrin, pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, beliau tidak pernah menjadikan diagnosis ADHD itu sebagai penghalang untuk anaknya terus belajar dan mengembangkan potensi diri.
“Ramai yang melihat kekurangan, tetapi sebagai ibu, saya melihat kelebihan yang ada pada Aqeef.
“Semasa di tingkatan lima, Aqeef pernah bersekolah sehingga Julai sahaja sebelum mengambil keputusan untuk belajar sendiri di rumah sehingga menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu,” katanya.
Beliau percaya apa yang ditakdirkan Allah adalah satu amanah dan kelebihan yang mampu dilaksanakan.
“Walaupun kesemua anak saya didiagnos autism (Asperger) dan ADHD, saya melihat keistimewaan dan keunikan mereka yang tersendiri dan tugas ibu bapa adalah membantu mereka menemui kekuatan itu,” ujarnya.
Antara kejayaan yang pernah diraih Aqeef ialah Johan Cabaran Kenderaan Masa Depan Peringkat Zon Malaysia Techlympics 2022 selain menerima penghargaan khas daripada SMK Darulaman Heights 1 atas pencapaian tersebut. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
3
![[VIDEO] Flat Rohingya: Saya mengaku, salah tetap salah – Anak tuan tanah](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/ce4c08de-b9d2-4bbb-b148-eedd69ac43b8.jpeg)






![[VIDEO] Rohingya akan beranak-pinak, kerajaan tanggung RM30 juta kos rawatan setahun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/rohingya.jpg)




































