Rayuan Chegubard dapatkan kenyataan wartawan Bloomberg 13 Mac ini

8 hours ago 5

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 13 Mac untuk mendengar rayuan aktivis politik Chegubard mendapatkan kenyataan wartawan Bloomberg untuk digunakan dalam pembelaannya berkaitan kes hasutan mengenai projek kasino di Forest City.

Tarikh itu di tetapkan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama dua lagi hakim iaitu Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memberitahu mahkamah, oleh kerana pihaknya baru menerima rekod rayuan, beliau mengaku janji untuk memfailkan petisyen rayuan secepat mungkin.

Katanya, kes hasutan anak guamnya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru yang sudah memasuki peringkat pembelaan, akan bersambung pada 6 April ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee yang mengesahkan perkara itu, menyatakan bahawa pendakwaan bersedia meneruskan rayuan pada 13 Mac ini.

Pada 27 Januari lalu, Mahkamah Tinggi Johor Bahru mengetepikan perintah Mahkamah Sesyen yang mengarahkan pendakwaan mendedahkan kenyataan saksi terbabit yang direkodkan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

Hakim Atan Mustaffa Yussof Ahmad memutuskan demikian kerana kenyataan sedemikian adalah dilindungi oleh keistimewaan undang-undang serta tidak boleh didedahkan.

Menurut hakim itu, kuasa yang mengikat daripada Mahkamah Persekutuan adalah jelas dan tidak berbelah bahagi bahawa kenyataan saksi yang direkodkan di bawah Seksyen 112 KTJ mempunyai keistimewaan mutlak,” katanya dalam penghakiman

Beliau membuat keputusan selepas membenarkan permohonan semakan pendakwaan.

Sebelum ini pada 11 Disember tahun lalu,
Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan peguam bela Chegubard supaya kenyataan berkenaan didedahkan.

Pada 30 April 2024, Chegubard atau nama sebenarnya Badrul Hisyam Shaharin, 47,
didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan membuat penerbitan menghasut di media sosial berhubung projek kasino di Forest City.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membuat penerbitan menghasut di akaun Facebook atas nama Che’GuBard di Mutiara Villa, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pukul 6.30 petang pada 26 April 2024.

Pendakwaan mengikut Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |