Ratu berbasikal buru ledakan baharu

2 weeks ago 28

PELUMBA berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri enggan sekadar berpuas hati dengan reputasi antara pelumba pecut terbaik Asia apabila memasang tekad memperbaharui catatan masa peribadi menjelang siri kejohanan antarabangsa musim ini.

Ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan MASUM 2023 & 2024 di Putrajaya semalam, Izzah menjelaskan fokusnya terarah kepada Piala Dunia Trek di Perth serta misi mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2026.

Atlet berusia 22 tahun itu berkata, fasa persediaannya kini lebih tertumpu kepada aspek kekuatan fizikal selepas melalui ujian prestasi yang memberangsangkan, sekali gus memberi petunjuk positif terhadap peningkatan tahap kecergasannya.

“Alhamdulillah, latihan masih berjalan seperti biasa dan kami baru selesai ujian prestasi. Sekarang fokus lebih kepada latihan kekuatan untuk persiapan musim pertandingan,” katanya.

Cabaran di Perth pada bulan Ramadan menuntut perancangan rapi, malah kem latihan di Australia turut berada dalam pertimbangan bagi memastikan dia mampu menyesuaikan diri dengan keadaan trek dan persekitaran pertandingan.

“Untuk kem latihan di Australia itu masih belum pasti. Mungkin minggu depan baru kita buat keputusan kerana ada pertandingan di Perth bulan puasa ini,” jelasnya.

Sebagai pemegang rekod kebangsaan acara pecut individu dengan catatan 10.709 saat yang dilakar di Saint-Quentin-en-Yvelines, Paris, Izzah menegaskan musim ini bukan sekadar soal mempertahankan gelaran, sebaliknya mencabar had diri sendiri.

“Kalau boleh saya mahu tingkatkan catatan masa saya. Insya-Allah saya juga harap dapat mempertahankan pingat emas ACC,” katanya.

Pemenang Olahragawati Anugerah Sukan MASUM 2024 itu turut menyifatkan Sukan Asia sebagai sasaran utama, namun tidak mahu memandang ringan peluang di Sukan Komanwel yang dianggap platform penting dalam perkembangan karier elitnya.

“Bagi saya kedua-duanya penting. Saya pernah beraksi di Komanwel Glasgow sebelum ini. Sukan Asia memang sasaran utama, tetapi saya tetap mahu capai sesuatu di Komanwel,” ujarnya, sambil menegaskan pengiktirafan diterima menjadi pembakar semangat untuk tampil lebih matang dan konsisten musim ini.

Read Entire Article
Pertanian | | | |