Rakyat Amerika berarak bantah Trump

1 day ago 5

WASHINGTON – Berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan membanjiri bandar-bandar utama di Amerika Syarikat (AS) semalam untuk membantah dasar pecah belah Presiden Donald Trump, dalam demonstrasi terbesar sejak beliau kembali ke White House.

Penentang dasar Presiden daripada Parti Republikan itu berhimpun termasuk di Washington, New York, Houston, Florida, Colorado dan Los Angeles. Mereka membantah dasar Trump, daripada pemecatan kakitangan awam hinggalah kepada tarif perdagangan dan penghakisan kebebasan bersuara. 

“Saya sangat marah. Segelintir orang ‘istimewa’ kulit putih sedang mengawal negara kita (AS),”kata pelukis bernama Shaina Kesner, 43, yang berarak di pusat bandar Manhattan.

Di Washington, beribu-ribu penunjuk perasaan yang datang dari seluruh AS,  berkumpul di monumen National Mall di mana berpuluh-puluh penceramah lantang mengecam Trump.

“Kami hadir untuk membantah pentadbiran yang keterlaluan ini,” kata seorang wanita dikenali sebagai Diane Kolifrath, 64.

Penganjur untuk perhimpunan di Washington meramalkan angka penunjuk perasaan yang hadir sekitar 20,000 orang tetapi menjelang petang semalam, jumlah mereka kelihatan jauh lebih besar.

Di Denver, Colorado, seorang lelaki dalam kumpulan besar penunjuk perasaan berarak sambil memegang sepanduk tertera slogan bermaksud: “Tiada raja di Amerika Syarikat.”

Perhimpunan anti-Trump itu bahkan merebak  ke beberapa ibu negara Eropah.

“Apa yang berlaku di Amerika Syarikat adalah masalah semua orang. Dia (Trump) menyebabkan kita semua terjerumus ke dalam kesemelesetan global,” kata warga AS-Britain,  Liz Chamberlin pada perhimpunan di London.

Di Berlin pula,  seorang pesara berusia 70 tahun,  Susanne Fest berkata Trump mencetuskan  ‘krisis perlembagaan’ sambil menambah, ‘Lelaki itu gila’.

Trump mengundang kemarahan ramai rakyat AS kerana melaksanakan dasar kontroversi khususnya mengecilkan bilangan kakitangan awam kerajaan, melaksanakan nilai konservatif secara unilateral dan mendadak serta melaksanakan dasar perdagangan yang menekan walaupun terhadap negara-negara sahabat. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |