Pukul amah: Dua pasangan suami isteri direman semula empat hari

3 hours ago 3

JOHOR BAHRU – Dua pasangan suami isteri yang sebelum ini ditahan berhubun kes tular memukul pembantu rumah direman semula selama empat hari selepas dua lagi wanita warga Indonesia disyaki bekas amah mereka membuat laporan polis semalam.

Empat suspek berusia 30 hingga 34 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 pagi tadi selepas dua wanita asing terbabit dibawa dari Kuala Lumpur oleh pihak Kedutaan Indonesia untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan IPD Johor Bahru Utara.

Peguam yang mewakili Kedutaan Indonesia, Mohd. Daud Ismail berkata, beliau hadir sebagai peguam pemerhati ketika proses permohonan reman terhadap kesemua suspek dilakukan di Mahkamah Johor Bahru hari ini.

Katanya, Majistret Chai Ing Hien membenarkan reman selama empat hari sehingga Sabtu ini bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap laporan yang dibuat oleh kedua-dua mangsa.

“Siasatan dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan Seksyen 506 kanun sama bagi kes ugutan jenayah,” katanya hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad dilaporkan berkata, dua pasangan suami isteri ditahan bagi membantu siasatan kes mencederakan seorang amah warga asing.

Katanya, video yang tular di media sosial memaparkan seorang wanita dipercayai amah dipukul dua lelaki dan dua wanita tempatan di sebuah rumah di kawasan Taman Johor, Tampoi.

Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku tahun lalu, namun rakaman tersebut hanya mula tular pada 13 Jun lalu.

Sementara itu, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru memaklumkan, pihaknya memberikan perlindungan dan bantuan kepada dua wanita Indonesia yang menjadi mangsa penderaan fizikal ketika bekerja sebagai amah di negeri ini.

Pihak KJRI menerima maklumat daripada seorang warga Indonesia dikenali sebagai YY yang memaklumkan dia bersama dua lagi wanita warganegara sama kerap menjadi mangsa penderaan fizikal oleh majikan  ketika bekerja di Johor.

Selain Seksyen 324 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kes turut disiasat di bawah Seksyen 354 kanun sama iaitu menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan mangsa dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966. – KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |