PTPTN salur RM62,500 Bantuan Lestari Siswa Madani kepada 125 pelajar UTM

2 hours ago 3

PETALING JAYA – Seramai 125 pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) daripada golongan kurang berkemampuan menerima Bantuan Lestari Siswa Madani membabitkan peruntukan keseluruhan RM62,500 sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan sepanjang tempoh pengajian.

Majlis penyampaian bantuan itu disempurnakan oleh Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Seri Norliza Abdul Rahim di Dewan Sri Perdana, Kolej Perdana, UTM Johor, semalam.

Melalui inisiatif itu, setiap penerima akan menerima bantuan secara sekali beri (one-off) sebanyak RM500 yang akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing mulai 1 Julai depan.

Norliza berkata, PTPTN sentiasa komited melaksanakan pelbagai inisiatif berimpak tinggi bagi menjaga kebajikan pelajar, khususnya peminjam PTPTN, selain memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat akses kepada pendidikan tinggi.

“Dalam usaha meningkatkan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat tanpa mengira kaum, latar belakang mahupun status sosioekonomi, PTPTN telah melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi.

“Antaranya seperti program endowment yang membolehkan dana diterima daripada pelbagai pihak untuk disalurkan kepada pelajar yang memerlukan bantuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Norliza berkata, bantuan ini diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada para pelajar untuk terus berusaha dengan lebih gigih dalam mencapai kecemerlangan akademik.

“Kejayaan yang diraih kelak bukan sahaja membuka peluang kepada pekerjaan yang lebih baik, malah berupaya meningkatkan taraf hidup serta membantu mengubah nasib keluarga ke arah kehidupan yang lebih sejahtera dan selesa,” katanya.

Beliau berkata, program Bantuan Lestari Siswa Madani mencerminkan keprihatinan serta komitmen berterusan PTPTN bersama Kerajaan Madani dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif kepada golongan memerlukan.

Terdahulu, PTPTN memaklumkan bahawa sepanjang 29 tahun penubuhannya, agensi itu telah menjadi pemangkin kepada kejayaan jutaan pelajar di seluruh negara, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan dan kemajuan negara. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |