PETALING JAYA – Seperti kebiasaan dalam bulan Ramadan, RR by Rizman Ruzaini sentiasa menjadi perhatian para peminatnya untuk mendapatkan pelbagai keperluan koleksi pakaian terkini untuk digayakan pada pagi Syawal.
Koleksi popularnya seperti basic kurung pleated dan juga empress menjadi sebahagian daripada rebutan para peminat jenama tersebut.
Bagi memudahkan orang ramai mendapatkan koleksi berkenaan, RR by Rizman Ruzaini telah melancarkan pop up store di sebuah pusat beli-belah utama di Putrajaya selama sebulan.
Pemilik jenama tersebut, Rizman Ruzaini berkata, ini kali pertama inisiatif tersebut dilaksanakan dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
“Kami mempunyai outlet fizikal di dalam pusat beli-belah ini tetapi kami sediakan juga pop up store RR by Rizman Ruzaini agar dapat memudahkan orang ramai membeli-belah sekali gus mahu meningkatkan pengetahuan pengunjung mengenai jenama kami dan keberadaan kami berniaga di sini.
“Istimewanya promosi kami, terdapat potongan harga buat koleksi terdahulu dan terbaharu yang dijual.
“Jadi buat mereka yang menginginkan pengalaman membeli belah yang selesa boleh datang ke sini untuk mendapatkan produk RR by Rizman Ruzaini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pop up store berkenaan baru-baru ini.
Syarikat menawarkan potongan harga sehingga 70 peratus buat produk yang dijual di pop up store RR by Rizman Ruzaini.
Mengulas lanjut, Rizman berkata, sebagai pelopor pakaian syawal terutamanya bagi mereka yang menginginkan rekaan eksklusif pada harga mampu milik, jenama miliknya itu berbeza daripada yang lain.
“Segmen tersendiri RR by Rizman Ruzaini kekal menjadi antara segmen penting dalam perniagaan kami.
“Saya yakin sudah sampai masanya RR by Rizman Ruzaini tidak sekadar menjadi pilihan pada satu-satu musim sahaja. Tetapi sepanjang tahun,” katanya.
Selain itu, koleksi RR by Rizman Ruzaini juga boleh didapati di Absolut Bazaar @ Mitec, Kuala Lumpur bermula 21 Mac ini. -KOSMO! ONLINE