
IPOH – Pasangan suami isteri iaitu Mohd. Al-Rezif Rano, 36, dan Mashirah Meor Kamaruddin, 37, telah melakukan pelbagai pekerjaan termasuk berniaga bagi menampung kehidupan mereka dan empat zuriat yang lain.
Percaya rezeki berniaga mampu menyumbang pendapatan konsisten, kedua-duanya mengambil keputusan untuk menceburi bidang jualan makanan iaitu apam balik di sekitar Ipoh kira-kira tiga tahun lalu.
“Kami berniaga apam balik di pasar pagi dan pasar malam, namun mungkin kerana persaingan selain kos bahan mentah yang tinggi, sambutan diterima tidak begitu menggalakkan dengan purata nilai jualan kasar sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
“Sukar untuk kami pergi lebih jauh dan pendapatan dijana sekadar mencukupi untuk perbelanjaan bulanan semata-mata,” kata Mohd. Al-Rezif kepada Kosmo! di Pasar Malam Meru Permai, di sini baru-baru ini.
Katanya, peluang yang diberikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) untuk mengikuti Program Usahawan Payung Asnaf (UPAYA) benar-benar telah membantu mereka keluar daripada zon kritikal, malah beroleh pendapatan lebih tinggi.
“Kami diberikan peluang berniaga dengan menjadi francaisor kepada sebuah syarikat jenama NAB yang sememangnya sudah terkenal dengan produk seperti kuih peneram, baulu, rempeyek dan loyang.
“Saya memilih kuih peneram kerana tidak ramai yang menjualnya di pasar pagi dan malam sekitar Ipoh.
“Sebaik sahaja mengikuti kursus insentif selama sebulan, kami menerima bantuan menyeluruh merangkumi peralatan perniagaan seperti meja, banting, apron, topi, dapur, payung dan kiosk bernilai RM5,000,” katanya yang turut dipantau serta menerima bimbingan berterusan oleh MAIPk dan pemilik jenama NAB.
Tambahnya, sejak itu pendapatan kasarnya telah meningkat berkali-kali ganda sehingga boleh mencecah RM9,000 sebulan, selain mula mendapat tempahan untuk majlis tertentu seperti kenduri kahwin, hari jadi dan program syarikat.
“Pelanggan turut tertarik dengan penjenamaan NAB dan pendapatan yang stabil ini membolehkan kehidupan kami berubah, malah mampu membeli sebuah van Perodua Rusa berharga RM4,000 untuk memudahkan urusan logistik,” ujarnya.
Program UPAYA menyasarkan golongan peniaga kecil yang sedang berusaha keluar daripada belenggu pendapatan rendah, dengan harapan mereka mampu menjana pendapatan lebih stabil bagi menampung keperluan keluarga.
Semua peserta program mengikuti pelbagai kursus asas keusahawanan yang dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran merangkumi pengurusan kewangan, pemasaran digital, pensijilan halal, penampilan serta imej usahawan, seminar motivasi serta hala tuju perniagaan.
Bantuan ini selaras dengan flagship kelima pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat iaitu 1 Keluarga 1 Usahawan cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi memacu negeri ke arah kemajuan rakyat.

12 hours ago
1






![[VIDEO] ‘Macam mana jari kau boleh masuk situ kak’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-01-at-5.04.16-PM.jpeg)









![[VIDEO] ‘Adik tak sihat, dia nampak seperti suami dok panggil dan ejek’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/Marliana.jpeg)
![[VIDEO] Selepas ‘pesta kerang’, kini siput beliung serbu Pantai Permatang Pasir](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/siput-beliung.jpeg)






























