JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) dilihat berada pada kedudukan paling selesa untuk mempertahankan pentadbiran Johor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 esok, dengan peluang besar mengekalkan majoriti dua pertiga, malah berpotensi menyamai atau melepasi pencapaian 40 kerusi yang diraih pada pilihan raya lalu.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Datuk Prof. Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, berdasarkan perkembangan kempen sepanjang tempoh dua minggu lalu, persoalan utama bukan lagi sama ada BN mampu membentuk kerajaan negeri, sebaliknya berapa besar majoriti yang bakal diperoleh.
Menurut beliau, unjuran paling realistik ketika ini meletakkan BN memenangi antara 38 hingga 43 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus mengekalkan majoriti dua pertiga. Dalam senario lebih positif, BN berpotensi meraih sehingga 44 hingga 50 kerusi jika beberapa faktor memihak kepada parti itu.
Katanya, Pakatan Harapan (PH) pula dijangka memperoleh antara lapan hingga 14 kerusi, manakala baki kerusi dijangka menjadi saingan Perikatan Nasional (PN), PAS, BERSAMA serta parti-parti lain.
“BN memasuki pilihan raya ini sebagai penyandang dengan kelebihan daripada aspek jentera, kepimpinan dan rekod pentadbiran kerajaan negeri. Selain itu, pertandingan tiga, empat dan lima penjuru di banyak kawasan memberi kelebihan kepada BN kerana undi pembangkang dijangka berpecah,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Beliau berkata, kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang membawa agenda pembangunan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), projek RTS Link serta kemasukan pelaburan baharu turut meningkatkan keyakinan sebahagian besar pengundi terhadap kerajaan negeri.
Bagaimanapun, katanya, PH masih mempunyai kekuatan di kawasan bandar serta dalam kalangan pengundi bukan Melayu, namun berdepan cabaran untuk menembusi kawasan majoriti Melayu selain perlu bersaing dengan parti baharu seperti Bersama yang berpotensi memecahkan undi pembangkang.
Menurut Awang Azman, PN dan PAS pula masih mempunyai kelompok penyokong tersendiri, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu, namun keputusan gabungan itu bertanding di sebahagian kerusi sahaja sedikit sebanyak menjejaskan persepsi mereka sebagai alternatif utama kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata, kemenangan lebih besar BN bergantung kepada beberapa faktor utama termasuk kekalnya sokongan pengundi Melayu, kadar keluar mengundi penyokong PH yang lebih rendah serta perpecahan undi dalam kalangan parti pembangkang.
“Jika semua faktor tersebut berlaku serentak, BN tidak mustahil mampu memenangi antara 44 hingga 50 kerusi. Namun, senario paling munasabah ketika ini ialah BN memperoleh sekitar 38 hingga 43 kerusi,” katanya.
Tambah beliau, beberapa kerusi seperti Puteri Wangsa, Maharani, Bukit Batu, Bukit Pasir, Parit Yaani, Tangkak, Johor Jaya, Kota Iskandar dan Serom dijangka menjadi medan penentu sama ada BN sekadar mengekalkan kemenangan atau mencipta keputusan yang lebih besar pada PRN Johor kali ini. – KOSMO! ONLINE

16 hours ago
7

















































