PRN Johor: 200 ahli PKR keluar parti, umum sertai MIC

2 hours ago 3

JOHOR BAHRU – Bekas Naib Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Johor, M. Murugan mengumumkan pihaknya bersama kira-kira 200 penyokongnya keluar parti dan menyertai MIC Bahagian Iskandar Puteri.

Murugan berkata, keputusan itu diambil setelah kecewa dengan kepimpinan terkini PKR negeri dan Pusat yang bersikap sambil lewa berhubung aduan dibuat pihaknya sejak sekian lama.

“Saya telah menyerahkan PKR sejak 19 tahun lalu, saya paling lama dalam PKR Cabang Iskandar Puteri. Antara jawatan pernah dipegang termasuklah Ketua Cabang serta menjadi calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh pada 2013 dan calon DUN Layang-Layang pada 2018.

“Namun hari ini saya buat keputusan tinggalkan PKR dan kembali kepada MIC selepas hampir 20 tahun meninggalkan parti itu. Saya ibarat pulang ke pangkuan asal perjuangan politik demi masyarakat India,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai seramai 200 ahli PKR yang menghantar surat permohonan keahlian MIC di Dewan Taman Nesa, Skudai.

Turut hadir, Pengerusi MIC Cawangan Camp Village, Datuk T. Mohan dan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Skudai, Nicole Tan Hiang Kee.

Pada masa sama, Murugan yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Rony turut berkata, seramai 350 ahli PKR Cabang Kota Iskandar telah keluar parti, dengan sebahagian besar merupakan masyarakat India.

“Sebenarnya yang keluar parti seramai 350 terdiri daripada India, Melayu dan Cina. Ada antara mereka sertai UMNO, MCA, Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan ada juga berhenti terus daripada aktif politik.

“Namun majoritinya masyarakat India iaitu seramai 200 sertai MIC. Saya akan ajak lebih ramai lagi ahli-ahli PKR di seluruh Johor untuk sertai MIC, kerana ini satu-satunya parti yang memperjuangkan hak dan kebajikan kami,” katanya.

Sementara itu, Mohan berkata, pihaknya menyambut baik keputusan bekas ahli PKR di kawasan berkenaan untuk menyertai MIC yang merupakan parti komponen BN.

“Ini bukan perkara terpencil, sebaliknya ada beberapa majlis sama telah dilakukan di Johor sebelum ini termasuklah di Kulai minggu lalu. Sejak awal tahun ini, MIC dianggarkan telah menerima seramai 30,000 keahlian baharu.

“Ini menjadikan keanggotaan MIC seluruh negara seramai lebih 350,000 orang,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |