Presiden AS lancar laman web TrumpRX

2 hours ago 1

WASHINGTON – Presiden Donald Trump semalam melancarkan laman web jenama sendiri,  TrumpRx  yang membolehkan pengguna membeli pelbagai jenis ubat pada harga diskaun seperti ubat menurunkan berat badan dan merawat kemandulan.

Langkah itu sebahagian usaha Trump menangani kemarahan pengundi terhadap kos sara hidup tinggi menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat(AS)  pada November ini  di mana Parti Republikan pimpinan beliau berisiko kehilangan dominasi di Kongres.

“Bermula malam ini (semalam), berpuluh-puluh ubat preskripsi yang paling biasa digunakan akan tersedia pada harga diskaun ketara untuk semua pengguna.

“Rakyat Amerika telah lama membayar harga ubat tertinggi  dunia,  rakyat Amerika secara efektif menanggung subsidi kos ubat untuk seluruh dunia,” kata Trump dalam satu majlis di White House.

Menurutnya, gergasi farmaseutikal Eli Lilly dan Novo Nordisk  bersetuju untuk menawarkan ubat penurunan berat badan popular,  GLP-1 pada ‘diskaun drastik’ di  laman web tersebut.

Harga Ozempic Novo Nordisk akan dikurangkan daripada lebih AS$1,000 (RM3,960) kepada AS$199 (RM788) sebulan, manakala Wegovy Eli Lilly akan dipotong daripada AS$1,300 (RM5,148) kepada cuma AS$199, kata Trump. 

Harga diskaun itu akan meningkat beransur-ansur selepas dua bulan, demikian menurut laman web tersebut.

Semasa pengumuman tersebut, seorang pegawai membawa seorang wanita ke atas pentas sebagai orang pertama menggunakan TrumpRx untuk mendapatkan ubat rawatan kesuburan pada harga berpatutan.

“Kita akan mempunyai banyak ‘bayi Trump’  dengan kos murah ini,” kata pentadbir Trump untuk Pusat Medicare dan Perkhidmatan Medicaid, Mehmet Oz semasa  memperkenalkan wanita itu.

Laman web ini dilancarkan dengan penjimatan untuk  lebih 40 ubat popular, kata White House. Pengguna boleh mencari ubat yang mereka mahukan, kemudian mencetak kupon dan menyerahkannya di farmasi untuk membeli pada harga diskaun. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |