Premis tawar khidmat urut serendah RM200 diserbu

15 hours ago 4

PUTRAJAYA- Modus operandi digunakan sebuah premis yang menawarkan perkhidmatan urutan badan dan aktiviti ‘seks songsang’ dengan menyasarkan pelanggan lelaki warga asing dan tempatan tumpas apabila diserbu Jabatan Imigresen semalam.

Menerusi serbuan terbabit, seramai 18 orang warga asing melibatkan Myanmar, Vietnam dan India ditahan di premis di Taman Miharja, Kuala Lumpur yang menawarkan perkhidmatan seks bermula harga RM200 hingga RM800.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi dan menahan seorang lelaki Myanmar dipercayai sebagai penjaga premis.

Katanya, turut ditahan 15 warga Myanmar, satu lelaki Vietnam dan seorang warga India yang
berusia antara 18 hingga 39 tahun.

“Semakan awal mendapati satu lelaki India memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam sektor pembinaan, manakala seorang warga Myanmar memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS).

“Dua lelaki Myanmar dan seorang lelaki Vietnam telah tinggal lebih masa, manakala 13 lelaki warga Myanmar yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, kegiatan ini menggunakan aplikasi media sosial seperti Telegram dan WhatsaA untuk mempromosikan perkhidmatan mereka.

“Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM200 hingga RM800 bagi setiap perkhidmatan dan dibayar secara online.

“Kegiatan ini dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lepas,” katanya.

Seramai 13 lelaki Myanmar ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.15(4) Akta Imigresen 1959/63, manakala dua lelaki Myanmar dan seorang warga Vietnam ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Sek.6(3) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

“Seorang lelaki Malaysia telah diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |