ISKANDAR PUTERI – Premis Network School di Forest City, di sini, lengang dan tidak lagi beroperasi selepas lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn. Bhd. dibatalkan oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang berkuat kuasa semalam.
Tinjauan Kosmo! di lokasi hari ini mendapati sebuah notis memaklumkan penutupan sementara premis ditampal pada pintu masuk utama bangunan berkenaan.
Selain itu, papan tanda yang sebelum ini memaparkan nama Network School di pintu masuk premis turut diturunkan, sekali gus memberi gambaran operasi institusi berkenaan telah dihentikan.
Walaupun premis itu tidak lagi menerima kehadiran orang ramai, beberapa pengawal keselamatan masih dilihat berada di dalam kawasan berkenaan bagi mengawal keadaan dan memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Semalam, MBIP mengumumkan pembatalan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn. Bhd. serta mengarahkan semua aktiviti syarikat itu dihentikan berkuat kuasa 22 Julai selepas didapati melanggar beberapa syarat pelesenan.
Kerajaan Johor dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan tersebut dibuat susulan Mesyuarat Penuh Khas MBIP yang mendapati syarikat berkenaan gagal mematuhi syarat yang ditetapkan di bawah lesen perniagaan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Antara pelanggaran yang dikenal pasti ialah menjalankan operasi di sebuah premis tanpa lesen yang sah selain tidak mematuhi syarat penggunaan premis yang telah ditetapkan.
Sebelum ini, Network School menjadi perhatian selepas timbul dakwaan mengaitkan institusi berkenaan dengan individu dan rangkaian luar negara, sekali gus mendorong beberapa agensi menjalankan siasatan terhadap aspek pelesenan, imigresen serta pematuhan undang-undang.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Network School sebelum ini menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan dan menegaskan akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut saluran undang-undang jika perlu.
Kerajaan negeri turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang atau syarat pelesenan, selain mengingatkan semua pengusaha perniagaan supaya mematuhi sepenuhnya peraturan yang berkuat kuasa.-KOSMO! ONLINE

4 hours ago
4

![[VIDEO] Rumah siap loteng, kolam ikan dibina secara haram di parkir PPR](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/WhatsApp-Image-2026-07-22-at-10.41.09.jpeg)














































