PETALING JAYA – Usahawan kosmetik, Rita Sosilawati berkongsi pengalaman menarik apabila pasport baharu Malaysia yang digunakannya mencuri perhatian pegawai imigresen sebaik tiba di London, United Kingdom.
Menerusi perkongsian di Threads, Rita berkata, dia ditahan seketika untuk pemeriksaan kerana pasport berkenaan masih baharu dan belum pernah dilihat oleh pegawai bertugas di pintu masuk negara itu.
Menurutnya, dia menjelaskan bahawa pasport tersebut baru sahaja diperkenalkan dan diperolehnya pada hari ketiga selepas pelancarannya.
“Pegawai imigresen memberitahu mereka perlu memeriksanya terlebih dahulu kerana itu kali pertama mereka melihat pasport baharu Malaysia.
“Mereka turut memuji reka bentuknya yang moden dan cantik, termasuk penggunaan gambar berwarna,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Rita berkata, proses pemeriksaan mengambil sedikit masa kerana maklumat mengenai pasport baharu Malaysia dipercayai belum terdapat dalam sistem pihak berkuasa berkenaan.
Bagaimanapun, dia mengakui berasa teruja kerana menjadi antara rakyat Malaysia terawal menggunakan dokumen perjalanan tersebut di London.
“Tapi seronok juga dapat menjadi antara orang terawal menggunakannya di sini,” katanya.
Perkongsian berkenaan meraih perhatian ramai dengan lebih 271,000 tontonan dan kira-kira 5,900 tanda suka, selain mengundang pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
Seorang pengguna Threads dikenali @_lqmnarrii juga berkongsi pengalaman yang seakan sama ketika berkunjung ke Hat Yai dan Singapura baru-baru ini.
“Semalam pergi Hat Yai pegawai diorang pun cakap ‘new passport?’ Hari ini pergi Singapura pun diorang cakap benda sama. Dekat Singapura lama juga kena tahan pastu (mereka) puji pasport baru lawa,” komennya.
Seorang lagi pengguna, @jademisai berkongsi pengalaman hampir sama apabila pasportnya diperhatikan pegawai kawalan sempadan di Paris, Perancis sebelum ditunjukkan kepada rakan sekerja.
“Pegawai itu berkata pasport ini sangat canggih. Perkara itu membuatkan saya berasa sangat bangga sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Seorang netizen, @farahaz_97 berkata, pengalaman ditahan untuk pemeriksaan itu sepatutnya membuatkan rakyat Malaysia lebih berbangga kerana pasport berkenaan berjaya menarik perhatian pegawai luar negara.
“Kalau kita kena pun kita bangga berganda-ganda. Kena tahan sebab orang kagum tengok pasport baharu dan sudah tentu untuk memeriksa keasliannya,” katanya.- KOSMO! ONLINE

12 hours ago
5

















































