PNSB, Titijaya meterai perjanjian konsortium bina projek rumah idaman di Selangor

7 hours ago 4

PETALING JAYA – Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), melalui anak syarikat milik penuhnya, PNSB Construction Sdn. Bhd. (PCSB) telah memeterai perjanjian konsortium dengan Titijaya Land Berhad, melalui anak syarikat milik penuhnya, NPO Builders Sdn. Bhd. (NPO Builders).

Kerjasama strategik yang beroperasi di bawah nama Consortium of PNSB Construction-NPO itu bertujuan untuk melaksanakan pembangunan perumahan mampu milik di bawah program Rumah Idaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM343 juta.

Konsortium ini menggabungkan keupayaan taktikal PCSB di peringkat negeri serta kepakaran pembangunan hartanah yang dimiliki oleh NPO Builders.

Fokus utama konsortium ini adalah untuk menyediakan kediaman mampu milik yang berkualiti, sekali gus menyokong aspirasi dan usaha berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam memperluas pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim berkata, kerjasama ini adalah satu lagi bukti komitmen berterusan pihaknya dalam menyediakan ruang kediaman yang kondusif dan mampu milik untuk rakyat Selangor.

Menurut beliau, dengan menyatukan kekuatan PCSB dalam aspek pemudah cara kawal selia serta kepakaran teknikal yang ada pada NPO Builders, PNSB yakin dapat mengoptimumkan tempoh pelaksanaan projek Rumah Idaman ini.

“Fokus PNSB adalah untuk memastikan harga yang berpatutan tidak menjejaskan kualiti binaan, dan konsortium ini dibentuk atas dasar niat baik serta keuntungan bersama,” katanya dalam kenyataan.

Di bawah perjanjian konsortium tersebut, PCSB akan bertindak sebagai rakan pelaksana (delivery partner) utama yang bertanggungjawab memfasilitasi perancangan strategik serta menguruskan urusan berkaitan kelulusan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri.

Langkah ini penting bagi memastikan setiap polisi serta aspirasi Kerajaan Negeri Selangor dalam menyediakan rumah mampu milik dipatuhi sepenuhnya oleh konsortium.

Dalam  pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya Land Berhad., Datuk Lim Poh Yit menerangkan, kerjasama strategik ini sejajar dengan aspirasi Titijaya untuk menyumbang kepada pembangunan komuniti melalui penyediaan kediaman berkualiti pada harga mampu milik.

“Dengan pengalaman luas NPO Builders dalam pengurusan projek, kami yakin Rumah Idaman akan memperkukuh akses pemilikan rumah di Selangor,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |