Piala Dunia 2026: Manzambi muncul wira Switzerland

7 hours ago 4

LOS ANGELES – Pemain tengah Switzeland, Johan Manzambi mencuri tumpuan apabila meledak dua gol sebagai pemain gantian untuk membantu skuad itu menewaskan Bosnia-Herzegovina 4-1 dalam aksi Kumpulan B Piala Dunia 2026, awal pagi tadi.

Kemenangan itu meletakkan Switzerland di landasan terbaik untuk mara ke pusingan kalah mati selepas mengumpul empat mata daripada dua perlawanan setakat ini.

Perlawanan yang berlangsung seimbang hampir 70 minit itu menyaksikan Switzerland berdepan kesukaran menembusi benteng Bosnia yang bertahan dengan cukup disiplin meskipun lebih banyak menguasai permainan.

Bosnia pula hampir mencetuskan kejutan menerusi beberapa serangan balas berbahaya dengan penyerang berpengalaman, Edin Dzeko menjadi ancaman utama sebelum dikeluarkan pada minit ke-64.

Detik perubahan perlawanan hadir pada minit ke-72 apabila Bosnia kehilangan Tarik Muharemovic yang dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan Breel Embolo yang sedang menuju ke arah gawang.

Kelebihan seorang pemain segera dimanfaatkan Switzerland apabila Manzambi yang baru dimasukkan dua minit sebelumnya meledak gol pembukaan pada minit ke-74 menerusi rembatan voli yang menewaskan penjaga gol, Nikola Vasilj.

Ruben Vargas kemudian menggandakan kelebihan Switzerland tidak lama selepas itu sebelum sekali lagi memainkan peranan penting apabila mencipta peluang untuk Manzambi menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-90.

Kapten pasukan, Granit Xhaka melengkapkan kemenangan bergaya Switzerland menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan selepas Djibril Sow dijatuhkan di dalam kotak penalti.

Keputusan itu menyaksikan Switzerland kini menerajui Kumpulan B bersama Kanada, manakala Bosnia menghuni tangga ketiga dengan hanya satu mata dan perlu mencari kemenangan pada aksi seterusnya untuk menghidupkan peluang mara ke pusingan kalah mati. KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |