Pertemuan emosi penuh jujur, tiga jiwa satu pentas

16 hours ago 5

TIGA suara, tiga jiwa dan satu malam istimewa yang dijanjikan penuh emosi pada 14 Disember lalu. 

Pentas konsert menjadi saksi pertemuan istimewa Rizky Febian, Fabio Asher dan Anggi Marito yang menyatukan kekuatan vokal mereka dalam sebuah persembahan sarat rasa dan kejujuran. 

Setiap bait lagu bukan sekadar nyanyian, tetapi luahan hati yang mengalir dari pengalaman, cinta dan kehilangan, menjadikan Konsert Malam 3 Suara sebuah perjalanan emosi yang meresap terus ke jiwa penonton.

Konsep malam tersebut adalah persembahan bergilir-gilir yang memberi ruang kepada setiap artis menonjolkan kekuatan tersendiri dalam mengambil hati kira-kira 4,000 peminat yang hadir. 

Rizky Febian tampil dengan karya-karya yang sarat dengan elemen kebahagiaan dan ketenangan, Fabio Asher pula memukau dengan vokal meruntun jiwa yang mencengkam emosi pendengar, manakala Anggi Marito menghidupkan pentas dengan lagu-lagu galau yang memperlihatkan kehebatan vokalnya.

Selain peminat, beberapa selebriti tanah air dilihat turut hadir bagi memberi sokongan seperti Aina Abdul, Misha Omar dan Aisha Retno. 

Saling ‘bertukar’

Selain persembahan vokal, konsert berdurasi hampir tiga jam itu turut menyajikan momen-momen istimewa yang mencuri perhatian penonton.

Antaranya, segmen pertukaran lagu antara ketiga-tiga artis yang menyaksikan Anggi membawakan lagu Fabio iaitu Mahir Memberi Luka, Fabio menyampaikan lagu Rizky berjudul Cuek, manakala Rizky pula menghidupkan lagu Anggi, Selama Ku Bernafas.

Pentas turut dimeriahkan dengan aksi comel Fabio yang mempersembahkan tarian menerusi lagu Cuek, menampilkan sisi berbeza penyanyi yang sebelum ini lebih dikenali dengan lagu-lagu balada menyayat hati. 

Lebih istimewa, malam tersebut turut menyaksikan lagu Alamak dipersembahkan buat pertama kali di Malaysia sejak lagu berkenaan menjadi tular beberapa bulan lalu.

Sebanyak 23 buah lagu yang dipersembahkan sepanjang malam termasuk Hingga Tua Bersama, Bertahan Terluka, Kisah Penuh Kecewa, Rumah Singgah, Tak Segampang Itu dan Berharap Kau Kembali. 

Dalam konsert berkenaan, Rizky sempat berterima kasih kepada peminat Malaysia yang tidak henti-henti menyokong kariernya. 

“Malaysia merupakan rumah kedua saya. Setiap karya yang dinikmati peminat, selalu memberi energi positif buat saya. 

“Dari saya solo sampai ada isteri dan anak. Saya bersyukur apa yang diberikan Tuhan, doa saya adalah tetap berkarya dengan hal-hal positif,” katanya. 

Konsert Malam 3 Suara bukan sekadar  persembahan muzik, tetapi sebuah pertemuan emosi yang menyatukan kejujuran, bakat dan jiwa tiga penyanyi berbeza dalam satu pentas. 

Ini menjadi bukti bahawa kekuatan muzik terletak pada keikhlasan penyampaian, sekali gus meninggalkan kenangan manis yang sukar dilupakan peminat.

Read Entire Article
Pertanian | | | |