TIDAK pernah pulang dengan tangan kosong, penyanyi Lady Gaga meraih trofi Album Pop Vokal Terbaik menerusi Mayhem dan Rakaman Dance Pop Terbaik (Abracadabra) di
Anugerah Grammy ke-68, hari ini.
Ikon pop itu memeluk tunangnya, Michael Polansky, sebelum menyampaikan ucapan penghargaan buat insan tersayang yang menyentuh hati ramai.
“Saya menghasilkan muzik sejak kecil dan setiap kali berada di sini, saya perlu mencubit diri sendiri (kerana tidak percaya).
“Awak (merujuk Polansky) berada di sisi saya setiap hari, ucapan terima kasih sahaja dari saya sebenarnya tidak memadai.
“Awak bekerja begitu keras bersama saya untuk album ini sepanjang tahun. Jadi, saya cintakan awak dan terima kasih,” katanya pada majlis pengiktirafan di Crypto.com Arena, Los Angeles.
Gaga yang sebelum itu tampil di pentas membawakan lagu Abracadabra juga menyuntik semangat buat penyanyi wanita lain agar terus berani berkongsi karya mereka.
“Saya hanya ingin berpesan kepada wanita dalam bidang muzik bahawa saya tahu kadangkala apabila anda berada di studio bersama sekumpulan lelaki, situasinya boleh menjadi sukar.
“Jadi, saya menyeru supaya anda sentiasa mendengar kata hati sendiri dan sentiasa perjuangkan idea dan lagu-lagu anda.
“Perjuangkan diri anda sebagai seorang penerbit. Pastikan suara anda didengari dengan lantang,” ujarnya dengan teruja.
Gaga menewaskan Justin Bieber yang menghasilkan Swag, Miley Cyrus (Something Beautiful), Teddy Swims (I’ve Tried Everything but Therapy [Part 2]), dan Sabrina Carpenter (Man’s Best Friend).
Pada edisi kali ini dia dicalonkan dalam tujuh kategori termasuk Rakaman Terbaik, Lagu Terbaik serta Rakaman Pop Dance Terbaik di bawah tiket Abracadabra.
Sehingga kini, penyanyi berusia 39 tahun itu sudah mengumpul 16 trofi Anugerah Grammy, 22 MTV Video Music Awards dan dua Golden Globe Awards.
Terdahulu, penyanyi Bad Bunny meraih membawa pulang trofi Album Terbaik menerusi album Debí Tirar Más Fotos, sekali gus mencipta sejarah Grammy kerana buat kali pertama sepanjang penganjuran karya berbahasa Sepanyol diangkat sebagai pemenang utama. – KOSMO! ONLINE

1 day ago
7



![[VIDEO] ‘Kenapa aku nampak kepala terbang’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-6.02.02-PM.jpeg)
![[VIDEO] Bergurau ketika solat, penghadang jatuh hempap budak hingga longlai](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-5.58.44-PM.jpeg)



![[VIDEO] ‘Faizah…hiburkanlah saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-03-at-3.46.22-PM.jpeg)








































