Peranan ulamak semakin penting dalam era AI, teknologi moden

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Peranan ulama dan cendekiawan Islam sebagai pembimbing nilai serta etika dalam era kecerdasan buatan (AI) dan teknologi moden semakin penting bagi memastikan kemajuan yang dicapai memberi manfaat kepada manusia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cabaran yang dihadapi masyarakat hari ini bukan sekadar berkaitan ekonomi atau geopolitik, sebaliknya turut melibatkan krisis nilai, adab dan kebijaksanaan yang semakin terhakis.

Menurut beliau, kemajuan teknologi perlu dipandu oleh prinsip moral dan etika yang kukuh agar pembangunan yang berlaku tidak tersasar daripada matlamat kesejahteraan manusia.

“AI, data dan inovasi perlu dimanfaatkan untuk kebaikan manusia, manakala Maqasid Syariah harus terus menjadi kompas yang membimbing arah pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan The 4th Southeast Asia Scholars Conference 2026 yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Persidangan tersebut menghimpunkan kira-kira 600 ulama, mufti, ahli akademik, penyelidik dan cendekiawan Islam dari seluruh rantau ASEAN bagi membincangkan pelbagai isu semasa berkaitan umat Islam.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menekankan kepentingan diplomasi intelektual dalam kalangan sarjana Islam serantau bagi memperkukuh kerjasama dan membina kesepakatan dalam menangani cabaran semasa.

Katanya, platform seperti persidangan itu mampu melahirkan lebih banyak cadangan serta penyelesaian praktikal terhadap pelbagai isu yang dihadapi ummah pada masa kini dan akan datang.

“Sarjana Islam perlu terus memainkan peranan sebagai suara yang menyatukan serta menawarkan penyelesaian berasaskan ilmu dan hikmah,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Muslim World League (MWL) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atas komitmen berterusan dalam menjayakan persidangan berkenaan.

“Semoga segala perbincangan yang berlangsung dapat memperkukuh kesatuan ummah, mengangkat peranan ilmu dalam pembangunan masyarakat serta membawa manfaat yang berpanjangan kepada rantau ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |