IPOH – Seorang penolong jurutera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 146 pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM183,500 pada 2022 hingga 2023.
Tertuduh, Saifol Nizam Mat Zin, 49, yang bertugas di Bahagian Pembangunan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Kerian membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa telah menerima wang yang dimasukkan individu diketahui mempunyai hubungan kerja-kerja rasmi ke dalam akaun bank yang kemudian dikeluarkan secara ‘cash withdrawal’ atau tunai oleh tertuduh.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh antara 3 Januari 2022 hingga 11 Oktober 2023 di sekitar daerah Kerian.
Kesemua pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali mencadangkan jaminan sebanyak RM146,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.
Beliau turut mencadangkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.
Bagaimanapun, peguam bela, P. Ravee memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya yang berpendapatan RM6,000 sebulan mempunyai tanggungan tiga anak yang masih bersekolah selain mempunyai komitmen rumah dan kereta.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi semua pertuduhan selain mengarahkan tertuduh melaporkan diri ke pejabat SPRM di Ipoh pada hari Jumaat minggu pertama setiap bulan.
Hakim Meor Sulaiman juga memerintahkan tertuduh untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Ogos depan untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
3















![[VIDEO] ‘Apa benda banyak lalu-lalang pukul 3 pagi ni ye?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/9b72c2da-096c-433c-8558-7db2cbdfe4ab.jpeg)

































