SUBANG JAYA – Golongan peniaga dan usahawan di seluruh negara diseru untuk mengimbangi matlamat mengejar keuntungan dengan tanggungjawab sosial, khususnya dalam membantu meringankan beban rakyat mendepani kos sara hidup.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendekatan menawarkan barangan keperluan pada harga di bawah pasaran, terutama menjelang musim perayaan, merupakan satu langkah murni yang sangat diperlukan oleh golongan berpendapatan rendah (B40).
“Saya ingin menghargai apa yang dilakukan oleh syarikat seperti Mydin dari segi penjualan barangan runcit dan barangan keperluan yang lain termasuk untuk menyambut Ramadan dan juga Hari Raya Aidilfitri.
“Harga yang ditawarkan itu pada hemat saya ialah harga di bawah harga pasaran dan ini cukup baik untuk kumpulan B40,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Pelancaran Mega Rahmah Ramadan & Kasih Syawal di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, dalam menjalankan perniagaan, nilai barakah atau keberkatan harus menjadi keutamaan melalui penetapan margin keuntungan yang munasabah.
“Dari segi penyediaan Menu Rahmah juga, ia mencukupi dari segi nutrisi dan harganya juga adalah sangat-sangat rendah.
“Sikap dan sifat yang beginilah yang kita perlukan agar yang penting bukan hanya keuntungan, tetapi yang lebih penting ialah barakah. Jadi saya yakin lain-lain usahawan di peringkat bawahan pun mungkin dapat mengikuti apa yang dilakukan oleh Mydin,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai dakwaan terdapat ajakan untuk memboikot pasaraya Mydin kerana menerima bantuaan lebih daripada kerajaan, Ahmad Zahid berkata, pendekatan antagonis seperti itu perlu dielakkan.
“Satu ketika ada kita mendengar gelombang untuk membeli hanya barang-barang daripada kumpulan yang satu akidah, tetapi kita sebagai kerajaan yang rasional melarang perkara itu daripada dilakukan.
“Oleh yang demikian, saya harap perkara itu tidak harus untuk ditimbulkan dan kita mahu supaya peniaga-peniaga mendapat peluang yang sama rata serta jangan harus ada pemboikotan dan sebagainya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

16 hours ago
5



![[VIDEO] Buka pintu mengejut: Nahas babit enam kenderaan, dua cedera](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-5.57.13-PM-1.jpeg)







![[VIDEO] Gempar, pocong Kampung Parit Kasa akhirnya ditangkap](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-13.50.36.jpeg)





































