JOHOR BAHRU – Seorang pengurus syarikat berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM651,800 lesap, selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan menerusi aplikasi Facebook, awal tahun ini.
Ketua Polis Daerah Muar Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, mangsa berusia 45 tahun itu telah tertarik dengan sebuah iklan pelaburan saham yang diiklankan di laman sosial facebook, yang menawarkan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.
Beliau berkata, mangsa bertindak menekan pautan yang diberikan dan dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp atas nama sebuah syarikat pelaburan.
“Mangsa kemudiannya berhubung dengan lima individu berbeza menerusi aplikasi WhatsApp yang memberi penerangan lanjut mengenai pelaburan tersebut.
“Mangsa turut diminta untuk memuat turun serta mendaftar akaun pelaburan melalui satu aplikasi bagi memantau hasil pelaburannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Raiz Mukhliz berkata, tertarik dengan pulangan lumayan yang dijanjikan, mangsa telah melakukan 25 transaksi pembayaran ke tiga akaun bank berbeza dari 13 Feb hingga 27 Mac lepas, berjumlah keseluruhan RM651,800 menggunakan wang simpanan sendiri.
Katanya, mangsa mula berasa tertipu apabila diminta membuat bayaran tambahan bagi menuntut keuntungan yang dijanjikan, sedangkan sepanjang tempoh tersebut mangsa tidak menerima sebarang pulangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, dengan sebatan serta denda jika sabit kesalahan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah percaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan terlalu lumayan,” katanya.-KOSMO! ONLINE