SHAH ALAM – Seorang pengarah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas 11 pertuduhan berkaitan kes penipuan tanah dan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3.7 juta.
Tertuduh, A. Rama Rao, 65, yang juga pesakit buah pinggang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.
Mengikut pertuduhan pertama, dia sebagai pengarah syarikat RV Global Sdn. Bhd. didakwa memperdayakan sebuah syarikat supaya menyerahkan tanah seluas 3.24 hektar di Serendah, Hulu Selangor, dengan menyatakan bahawa dia wakil 136 bekas pekerja Ladang Serendah.
Perbuatan itu dilakukan di syarikat terlibat di Shah Alam pada 18 Julai 2007 dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Rama Rao turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri secara langsung dalam dua transaksi pemindahan hak milik tanah syarikatnya kepada Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. berkeluasan 0.216 hektar dan 0.6158 hektar yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Kesalahan itu dilakukan di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan Selangor, Klang pada 18 Julai 2023 dan 19 November 2024.
Dia juga didakwa lapan pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram masing-masing RM318,605, RM24,000, RM136,000, RM130,000, RM100,000, RM2 juta, RM700,000 dan RM300,000 kepada akaun bank lain termasuk syarikat lain miliknya sendiri antara 30 Disember 2024 hingga 30 Disember 2025.
Sabit kesalahan boleh dipenjara 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut Seksyen 4(1)(a) dan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).-KOSMO! ONLINE.

4 hours ago
5















































