Pengalaman Arafah ibarat babak imbas semula filem

6 hours ago 4

MEKAH – Pengalaman berwukuf di Arafah diibaratkan seperti babak flashback atau imbas kembali dalam sebuah filem yang memaparkan kembali seluruh perjalanan kehidupan manusia.

Pengarah dan penerbit, Datuk Jurey Latiff Rosli yang melalui pengalaman itu berkata, suasana di Arafah memberikan kesan rohani yang sangat mendalam buat dirinya apabila melihat ramai jemaah menangis dan berdoa dengan penuh pengharapan.

Beliau pada waktu itu tidak mampu menahan air mata apabila segala perjalanan hidup silam seakan-akan bermain semula di fikirannya.

“Kalau dalam bahasa filem, waktu di Arafah itu macam flashback segala dosa dan perkara-perkara yang pernah berlaku dalam hidup kita. Ketika itu kita benar-benar bermuhasabah, memohon keampunan dan bertaubat kepada Allah. Air mata memang mengalir sendiri tanpa dipaksa.

“Itu yang paling menyentuh hati saya sebab emosi itu datang secara natural. Kita sendiri yang tahu dosa dan perjalanan hidup kita,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Jurey yang juga Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia justeru mengakui pengalaman menunaikan haji memberi kesan mendalam kepada dirinya daripada sudut mental, fizikal dan kerohanian.

Katanya, antara pengalaman tidak boleh dilupakan adalah membantu seorang jemaah yang sesat lima jam ketika mahu ke pulang dari tandas ke khemah di Arafah.

“Dia menangis sebab terlalu penat dan buntu. Pada mulanya saya sendiri tertanya-tanya bagaimana boleh sesat, tetapi apabila tengok khemah di Mina yang hampir semuanya sama, saya faham,” katanya.

Beliau kemudian membantu jemaah itu dan menyerahkannya kepada petugas haji bertugas dan dimaklumkan individu tersebut berjaya kembali ke khemahnya.

“Kadang-kadang kita fikir perkara macam ini tidak berlaku, tetapi sebenarnya ramai jemaah boleh tersasar arah terutama di Mina,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan jemaah sesat akibat tidak membawa kad pengenalan diri dan Nusuk ketika keluar dari khemah kerana semua maklumat penting termasuk nombor blok dan khemah terdapat pada kad berkenaan.

“Terima kasih Tabung Haji atas pengurusan yang sangat baik dan pengalaman haji yang cukup bermakna buat saya. Insya-Allah kalau ada rezeki, saya mahu datang lagi,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |