Pendakwa raya fail rayuan, Eda Ezrin kena tinggal lagi sebulan dalam penjara

1 day ago 4

NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi lagu Bea Sobar Bea, Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan perlu menjalani tambahan tempoh tahanan di penjara selama sebulan bermula hari ini meskipun sudah dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di Sungai Golok pada 6 Mac lalu.

Perintah itu dikeluarkan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat susulan pihak Pendakwa Raya Wilayah mengemukakan rayuan untuk melanjutkan tahanan reman terhadap Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dan lima lagi rakyat Malaysia pada 2 April lalu.

Memetik laporan portal berita apakhabartv.com, jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, lanjutan tahanan reman itu dibuat selepas pendakwa raya memaklumkan pihaknya akan mencari lebih banyak bukti untuk mengaitkan penyanyi itu dan lima lagi tertuduh bagi pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.

“Berdasarkan rekod di dalam sistem, pihak pendakwa raya telah memfailkan permohonan lanjutan reman terhadap enam rakyat Malaysia itu pada 2 April lalu.

“Permohonan itu dikemukakan agar perintah reman terhadap mereka dilanjutkan selama sebulan selepas tempoh tahanan kali kedua berakhir hari ini,” katanya.

Eda Ezrin dan suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama, Eridieka Mohd. Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, dijangka menjalani prosiding perbicaraan sekali lagi di Mahkamah Rayuan Narathiwat apabila mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Berdasarkan maklumat, institusi kehakiman di Thailand mempunyai tiga peringkat iaitu Mahkamah Tahap Pertama, Mahkamah Rayuan, dan Mahkamah Agung.

Selain itu, Raja Thailand mempunyai kuasa mutlak untuk memberi pengampunan sama ada mengurangkan tempoh pemenjaraan atau membebaskan terus kepada banduan yang telah menjalani sekurang-kurangnya tiga tahun penjara.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Eda bersama suami dan empat lagi rakan dibebaskan oleh Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 6 Mac lalu atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda.

Mereka dipenjara enam bulan dan denda 4,000 bath (RM526) selepas mengaku bersalah atas tuduhan mengambil pil kuda.

Kesemua mereka bagaimanapun tidak perlu membayar denda kerana sudah selesai menjalani tempoh pemenjaraan selama lebih empat bulan dan berkelakuan sangat baik di penjara sepanjang tempoh tahanan reman.

Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira didenda dengan jumlah sama selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.

Mereka juga tidak perlu membayar denda kerana sudah menjalani tempoh pemenjaraan di Penjara Wilayah Narathiwat.

Salah seorang daripada peguam keenam-enam tertuduh, Sufian Abdul Aziz berkata, enam anak guamnya masih perlu berada dalam penjara untuk tempoh sekurang-kurangnya satu hingga empat bulan lagi.

Menurutnya, ia berikutan mereka perlu menunggu sekiranya pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan yang dibuat mahkamah pada 6 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |