Pembatalan LCS: Mahu Norway jadi perantara

2 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersedia mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu pembatalan lesen eksport peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) oleh Norway bagi projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu termasuk bagi mendapatkan peranan kerajaan Norway sebagai pengantara dalam tuntutan terhadap syarikat pembekal.

“Kita memang bersedia dan sebab itu sejak awal lagi, kita dah hantar notis.

“Saya percaya Kementerian Luar dah hantar surat kepada kerajaan Norway untuk menyatakan sekurang-kurangnya mereka memainkan peranan sebagai pengantara kita dengan syarikat supaya syarikat boleh bayar tuntutan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertahanan Negara 2026–2030 (PSPN) dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, tuntutan ganti rugi setimpal perlu dilakukan oleh Malaysia terhadap Norway berkaitan pembatalan kontrak perolehan NSM, bagi projek LCS baru-baru ini.

Pada Mei lalu, Mohamed Khaled dipetik berkata, Malaysia akan meneruskan tindakan saman terhadap pembekal NSM yang berpangkalan di Norway susulan kegagalan syarikat itu menyerahkan aset berkenaan selepas lesen eksport dibatalkan oleh kerajaan negara tersebut.

Tindakan undang-undang itu diteruskan walaupun Menteri Pertahanan Norway, Tore O. Sandvik, telah menyampaikan permohonan maaf berhubung keputusan kerajaan negaranya membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia.

Sebelum ini, Kerajaan Norway dilaporkan membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM dan sistem pelancar berkaitan kepada Malaysia atas alasan melindungi keselamatan negara berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |