PETALING JAYA – NCT Alliance Berhad (NCT Alliance) mencatat
beberapa mercu tanda penting dalam pembangunan NCT Smart Industrial Park
(NSIP) menerusi Majlis Mercu Tanda NSIP yang berlangsung hari ini, yang menghimpunkan beberapa perkembangan signifikan mencerminkan kemajuan berterusan taman perindustrian tersebut.
Antaranya termasuk penyerahan milikan kosong (VP) bagi fasa 1, pelancaran
fasa pembangunan seterusnya, kerjasama strategik utama dan pencapaian
infrastruktur, sekali gus memperkukuh peranan NSIP dalam menyokong
pertumbuhan sektor perindustrian Selangor.
Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan NCT Alliance, Datuk Seri Yap Ngan Choy berkata, setiap mercu tanda mencerminkan kemajuan yang telah di capai dalam membangunkan sebuah taman perindustrian yang bangga dengan identiti Malaysia dan berdaya saing di peringkat global.”
“Permintaan terhadap infrastruktur perindustrian dan logistik di Malaysia terus
meningkat, dengan Selangor menjadi tumpuan khusus berikutan lokasinya yang
strategik serta insentif kompetitif yang disokong Kerajaan Negeri.
“Dengan penyerahan VP Fasa 1 dan pelancaran KM2, NSIP terus mencatat kemajuan yang konsisten sebagai pembangunan bertaraf dunia yang mengutamakan kecekapan, tenaga hijau dan infrastruktur pintar bagi mewujudkan persekitaran perindustrian yang bersepadu dan boleh dikembangkan.

“Kami menjangkakan Fasa 2 akan menjana manfaat limpahan yang lebih besar di seluruh Selangor, termasuk menyokong pewujudan pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan serta peluang pekerjaan berkemahiran apabila ia siap kelak,” katanya.
Beliau berkata dalam kenyataan bersempena majlis yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
NSIP yang telah menerima pelbagai pengiktirafan merangkumi kira-kira 364 hektar tanah utama dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sebanyak RM10.2 bilion.
Dalam memperkukuh kedudukan NSIP sebagai hab perindustrian termaju, NCT
Alliance telah bertukar Memorandum Kerjasama (MoC) dengan SIRIM Berhad dan
Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
Menerusi kerjasama ini, perniagaan di NSIP akan memperoleh akses yang lebih luas kepada perkhidmatan pensijilan serta sokongan dalam penerapan penyelesaian digital, sekali gus membantu meningkatkan produktiviti dan melancarkan operasi harian.
Satu lagi mercu tanda utama ialah penyerahan rasmi berkaitan Jalan Langat Lestari yang mana projek tersebut telah berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual oleh NCT Building & Civil Engineering Sdn Bhd.
Selain itu, NCT Smart Management Sdn Bhd dan Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) turut memeterai Master Services Agreement bagi Managed Industrial Park (MIP), yang memformalkan pelaksanaan model MIP di NSIP.
Di bawah model MIP, NSIP menggabungkan pengurusan taman secara berpusat, keselamatan dan perkhidmatan digital bagi menyokong persekitaran operasi yang lebih cekap untuk perniagaan.
Ekosistem perindustrian NSIP yang bersedia untuk masa hadapan turut dilengkapi
dengan Smart Command Centre, sistem pengurusan bangunan pintar dan
penyelesaian digital bersepadu, disokong oleh kesalinghubungan 5G bagi
menyediakan akses rangkaian yang pantas dan boleh dipercayai.
Taman ini turut menempatkan Centralised Labour Quarter (CLQ) yang diuruskan dengan teknologi AI bagi menyediakan penginapan berkualiti untuk pekerja. -KOSMO! ONLINE

1 day ago
18
















































