Sudah 14 hari, keluarga masih menanti khabar mangsa di Nepal

2 hours ago 1

PETALING JAYA – Sudah 14 hari berlalu, namun keluarga dan rakan-rakan masih menanti khabar mengenai Muhammad Zaki Othman, 29, yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti pendakian di Nepal sejak 26 Ogos lalu.

Menerusi perkongsian terbaharu di Threads, rakan dan ahli keluarga dikenali sebagai @emyliatahar memaklumkan sehingga hari ini, masih belum ada khabar mengenai keberadaan Muhammad Zaki.

“Sudah 14 hari menunggu berita mengenai Zaki. Sehingga hari ini, Zaki masih hilang. Sekiranya ada sesiapa yang pernah melihatnya, mendengar sebarang maklumat atau menerima berita mengenai Muhammad Zaki, mohon maklumkan kepada kami dan bantu kongsikan hantaran ini,” katanya.

Dalam perkongsian sama, orang ramai turut diminta membantu usaha mencari Muhammad Zaki selain mendoakan keselamatannya.

“Tolong bantu kami mencari Zaki. Semoga Allah melindunginya di mana sahaja dia berada dan mempermudahkan urusan kami untuk menemukannya,” katanya.

Berdasarkan poster yang dikongsikan, Muhammad Zaki merupakan rakyat Malaysia berusia 29 tahun dan kali terakhir dilaporkan berada di Nepal ketika bencana banjir melanda negara itu pada Ogos lalu.

Terdahulu, Muhammad Zaki bersama dua rakannya, Muhammad Muhaimin Azhad Noor Hadi, 27, dan Muhammad Adib Haikal Awang Mansor, 27, dilaporkan gagal dihubungi ketika menjalankan aktiviti pendakian di Langtang Valley.

Mesej terakhir daripada kumpulan itu diterima pada pukul 10.42 pagi waktu Malaysia pada 26 Ogos lalu dengan lokasi terakhir mereka dikesan di sekitar Bhote Koshi sebelum hubungan terputus.

Muhammad Zaki yang berasal dari Kubang Semang, Bukit Mertajam dilaporkan berlepas ke Nepal pada 23 Ogos bersama dua rakannya dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 29 Ogos lalu.

Sementara itu, seorang lagi ahli keluarga mangsa yang terputus hubungan, menerusi akaun Threads @nur_zati2807 turut meluahkan kesedihan selepas 14 hari menanti perkembangan mengenai insan tersayang.

Menurutnya, antara yang masih belum dapat dihubungi ialah adik iparnya, Haziq Ismail serta sepupu mereka, Azman Karim, selain anggota kumpulan dikenali sebagai Team Loe dan mangsa lain yang terputus hubungan dalam tragedi banjir Nepal.

“Sebagai kakak sulung, melihat kegembiraan itu hilang dari raut wajah ahli keluarga sangat menyedihkan. Cuba menahan air mata itu satu yang menyakitkan,” luahnya.

Katanya, sepanjang 14 hari menunggu, keluarga sudah melakukan pelbagai usaha bagi mendapatkan maklumat termasuk menghubungi pelbagai pihak dan cuba memahami keadaan sebenar di lokasi kejadian.

“Doa sudah, usaha pun sudah. Sepanjang 14 hari ini kami menjadi pengkaji bumi, pengkaji undang-undang, ahli politik, wartawan, buat panggilan sana sini dari bawah hingga atasan dan cuba memahami.

“Kami takkan hentikan usaha ini. Kami berserah, mohon Allah beri jawapan ke atas segala doa-doa kami. Mohon doa semua. Ziq baliklah Ziq!” katanya.

Setakat 7 September, rekod rasmi Wisma Putra menunjukkan seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi susulan bencana di Nepal dan wilayah Tibet, dengan usaha pengesahan serta pencarian masih diteruskan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |