PETALING JAYA – Belum selesai masalah penerbangan pulang ke tanah air dibatalkan, sebahagian rakyat Malaysia yang kini berada di Jakarta, Indonesia difahamkan gagal membuat pembayaran menerusi aplikasi perbankan dan e-dompet.
Menerusi perkongsian dalam komuniti Threads ‘Malaysia Stranded Jakarta’, seorang pengguna @drakz90 berkata kemudahan pembayaran QRIS menggunakan MAE dan Touch ‘n Go e-dompet tidak dapat digunakan ketika ini.
“Geng. Tolong kemas kini sat. Memang QRIS MAE dan Touch ‘n Go tak boleh pakai ke sekarang. Mampuih wei kalau gini,” tulisnya menerusi hantaran yang meraih lebih 5,000 tontonan.
Dakwaan itu turut disokong beberapa rakyat Malaysia lain yang berada di sana apabila memaklumkan mengalami masalah sama ketika cuba melakukan transaksi.
Seorang pengguna mendakwa wang daripada akaunnya telah ditolak ketika cuba membuat pembayaran QRIS menggunakan MAE, namun transaksi berkenaan tidak diterima pihak penerima.
“Betul, tadi cuba QRIS MAE, duit dah tolak dalam akaun, tapi tak masuk dekat mereka (peniaga),” katanya.
Seorang lagi pengguna turut mendakwa tidak dapat menggunakan MAE ketika mahu membuat pembayaran untuk perkhidmatan teksi Bluebird sehingga menyebabkannya panik.
“Ya, MAE tak boleh pakai. Gelabah nak bayar Bluebird tadi,” ujarnya.
“Ya, saya imbas tadi tak boleh juga,” komen seorang pengguna lain dikenali @nisyamadi.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan kegusaran orang ramai selepas penerbangan dua hala melibatkan Jakarta dan Kuala Lumpur dibatalkan susulan gangguan abu vulkanik Gunung Anak Krakatau.
Pembatalan itu turut mencetuskan kekecohan dalam kalangan penumpang selepas mereka menerima notifikasi mengenai perubahan jadual penerbangan, termasuk mereka yang sudah berada di Jakarta dan dijadualkan pulang ke Malaysia.– KOSMO! ONLINE

19 hours ago
10


![[VIDEO] Dari kopi O bertukar jadi Americano air di Kelantan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-08-at-14.45.16.jpeg)













































