SEPANG – Pakatan Harapan (PH) telah bersedia dengan pelbagai senario termasuk kemungkinan bertanding tanpa kerjasama Barisan Nasional (BN) jika rundingan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka gagal dimuktamadkan.
Pengarah Pilhan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setakat ini belum berlaku sebarang rundingan rasmi membabitkan pengagihan kerusi antara kedua-dua gabungan politik berkenaan.
Bagaimanapun, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, pihaknya tidak akan menunggu terlalu lama memandangkan masa semakin suntuk sekiranya PRN Melaka diadakan dalam tempoh terdekat.
“Kita bersedia dengan pelbagai situasi dan keadaan. Sama ada keadaannya seperti di Johor atau Negeri Sembilan, ataupun situasinya berbeza.
“Kalau bincang, kita bincang. Tetapi masa semakin suntuk, jadi kita akan sediakan beberapa senario untuk kita tangani,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran fasa pembinaan Taman Perindustrian Terurus Pertama di Malaysia di NCT Smart Industrial Park di Jalan Langat Lestari, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas status terkini rundingan kerjasama dengan BN bagi mendepani PRN Melaka.
Katanya, walaupun terdapat komunikasi antara pimpinan kedua-dua pihak, rundingan rasmi masih belum bermula.
Amirudin berkata, beliau mengesahkan perbincangan hanya dilakukan menerusi panggilan telefon l, namun tiada kata putus dibuat ketika ini.
“Setakat hari ini belum (berunding dengan Ab Rauf), Kalau ada, kita ada. Kalau tidak ada, lawan tetap lawanlah.
“Jumpa dalam telefon, dalam talian sahaja. Tetapi negotiation belum berlaku. Mereka (BN) kata sedia berbincang, kita kata mari bincang, tetapi setakat ini tarikh dan masa pun belum ada,” katanya.
Mengulas kemungkinan PH bergerak secara solo, Amirudin menegaskan pilihan raya merupakan teras perjuangan sesebuah parti politik dan PH pasti akan bertanding. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
1


![[VIDEO] Dari kopi O bertukar jadi Americano air di Kelantan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-08-at-14.45.16.jpeg)













































