Nur Haira sudah sedar, keluarga mohon titipkan doa

2 hours ago 1

JOHOR BAHRU – Mangsa serangan lima anjing di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu, Nur Haira Wafiqah Muhammad Hamizi, 2, dilaporkan sudah sedarkan diri.

Perkembangan itu disambut lega keluarganya selepas kanak-kanak berkenaan menerima rawatan susulan kecederaan akibat serangan haiwan terbabit.

Ibu mangsa, Nur Wahyuni Harun, 36, berkata, keadaan Nur Haira kini menunjukkan perkembangan positif, namun anaknya masih memerlukan pemantauan dan rawatan lanjut daripada pihak hospital.

SALAH seorang ahli keluarga Nur Hairi memuat naik perkembangan terkini keadaan kanak-kanak dua tahun yang diserang lima ekor anjing di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat, Sabtu lalu.

Katanya, keluarga amat bersyukur apabila Nur Haira mula menunjukkan tanda-tanda sedar selepas melalui detik sukar sejak kejadian itu.

“Alhamdulillah, Nur Haira sudah sedarkan diri. Kami sekeluarga sangat bersyukur dengan perkembangan ini dan berharap keadaannya terus bertambah baik.

“Namun begitu, perjalanan untuk pulih masih panjang dan kami serahkan semuanya kepada Allah SWT,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, Nur Wahyuni memohon orang ramai terus mendoakan agar anaknya diberikan kekuatan untuk melawan kesakitan serta dipermudahkan proses rawatan dan pemulihannya.

“Kami mohon semua doakan Nur Haira supaya terus kuat melawan sakit dan kembali sihat seperti sedia kala. Doakan juga urusan rawatan serta pemulihannya dipermudahkan,”katanya.

Dalam kejadian pada pukul 7 pagi, Sabtu lalu, Nur Haira diserang lima ekor anjing liar ketika berada di luar rumah neneknya di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat.

Serangan itu mengakibatkan kanak-kanak berusia dua tahun 10 bulan tersebut mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |