PETALING JAYA– Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 mencatat pencapaian memberangsangkan apabila merekodkan kehadiran 5.02 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, angka tersebut jauh mengatasi sasaran awal iaitu sebanyak empat juta pengunjung.
Lebih membanggakan, seramai 2.01 juta pengunjung terdiri daripada belia, sekali gus menunjukkan minat generasi muda terhadap sektor pertanian dan agromakanan semakin berkembang.
“Angka ini membawa satu cerita besar tentang MAHA 2026. Paling menarik, 2.01 juta daripadanya golongan belia, satu perkembangan yang cukup baik dalam usaha menarik generasi muda mendekati sektor pertanian dan agromakanan.
“Syabas anak muda!” katanya.
Dari sudut ekonomi, Mohamad berkata, MAHA 2026 turut merekodkan nilai jualan langsung RM73.08 juta melepasi sasaran awal sebanyak RM58 juta.
Katanya, sebanyak 97 Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai dengan nilai keseluruhan RM10.35 bilion, mengatasi sasaran RM8 bilion.
“Dengan penyertaan kira-kira 2,000 pempamer tempatan dan antarabangsa, MAHA 2026 bukan sekadar sebuah pameran, tetapi medan membuka pasaran, membina jaringan dan mencipta lebih banyak nilai untuk seluruh ekosistem pertanian negara,” katanya.
Mohamad berkata, kejayaan penganjuran MAHA 2026 turut didukung oleh usaha dan kerja keras pelbagai pihak termasuk kementerian, jabatan, agensi, kerajaan negeri, rakan strategik, media, pempamer, usahawan serta ribuan petugas.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang hadir memeriahkan MAHA 2026.
“Tirai Maha 2026 sudah dilabuhkan, tetapi kerja kita untuk memperkukuh pertanian dan keterjaminan makanan negara terus berjalan,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

23 hours ago
9


![[VIDEO] Dari kopi O bertukar jadi Americano air di Kelantan](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-08-at-14.45.16.jpeg)













































