Lori pernah sita tak serik buat ‘kerja’ seleweng diesel

7 hours ago 9

JOHOR BAHRU – Sudah pernah dikenakan tindakan kerana kesalahan sama, namun masih tidak serik apabila sebuah lori kembali digunakan dalam kegiatan disyaki menyeleweng minyak diesel sebelum disita semula Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 7 petang di sebuah tapak pembinaan di Mukim Pulai, Iskandar Puteri, pihak penguat kuasa turut merampas kira-kira 2,500 liter minyak diesel serta pelbagai peralatan berkaitan.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan selama sebulan berhubung kegiatan disyaki melibatkan penyelewengan minyak diesel.

Katanya, pemeriksaan mendapati sebuah lori telah diubah suai dan dilengkapi tangki simpanan serta pelbagai peralatan berkaitan untuk aktiviti berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan cecair yang disyaki minyak diesel berjumlah kira-kira 2,500 liter.

“Semakan dokumen mendapati premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan minyak diesel di lokasi yang tidak dilesenkan atau tidak dibenarkan oleh Pengawal Bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebih mengejutkan, menurutnya, lori yang digunakan itu didapati pernah dikenakan tindakan dalam kes terdahulu atas kesalahan sama.

“Susulan itu, pasukan penguat kuasa menyita dua unit tangki IBC, sebuah skid tank, sebuah electric motor pump, sebuah DC oil pump, sebuah mesin flow meter berserta hos serta sebuah lori.

“Kesemua barangan sitaan itu dianggarkan bernilai RM33,075,” katanya.

Dalam operasi sama, dua lelaki tempatan yang dipercayai pekerja premis turut ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memindahkan atau menyimpan barang kawalan di premis yang tidak dilesenkan atau tidak dibenarkan oleh Pengawal Bekalan.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |