PETALING JAYA – Management and Science University (MSU) menduduki tangga ke-88 dunia dalam Times Higher Education (THE) Sustainability Impact Rankings 2026, sekali gus mengukuhkan pencapaiannya dalam agenda pembangunan mampan.
MSU dalam kenyataan berkata, pencapaian itu memperlihatkan impak pendidikan, penyelidikan, amalan institusi dan penglibatan komuniti universiti berkenaan dalam memajukan pembangunan mampan.
Malah, MSU turut mencatat kedudukan ketiga dunia bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 5: Kesaksamaan Gender, ke-29 bagi SDG 4: Pendidikan Berkualiti, ke-39 bagi SDG 1: Tiada Kemiskinan dan ke-66 bagi SDG 17: Kerjasama demi Matlamat.
“Pencapaian itu selari dengan usaha MSU yang merekodkan 950 inisiatif berkaitan SDG sepanjang 2022 hingga 2025, termasuk 81 projek antarabangsa dan 92,000 penglibatan komuniti.
“Menerusi Community Outreach Programme (COP), universiti itu turut menyantuni 2,408 keluarga antara 2023 hingga 2025,” katanya.
Selain itu, Yayasan MSU menyediakan biasiswa berjumlah RM50 juta setiap tahun bagi memperluas akses kepada pendidikan berkualiti.
Usaha jalinan komuniti MSU turut merangkumi program vaksinasi Covid-19 yang memberi manfaat kepada lebih 30,000 individu pada 2021.
Sehubungan itu, MSU bersama THE menganjurkan SDG-ESG Synergy Symposium: ‘Leading Change for People, Planet and Prosperity’ selama dua hari di Performing Arts Theatre (PAT), kampus induk MSU, di sini, kelmarin dan semalam.
Simposium itu menghimpunkan pemimpin dan pakar daripada institusi pendidikan tinggi tempatan serta antarabangsa, kerajaan, industri dan pemegang taruh bagi membincangkan peranan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Ia dirasmikan Presiden dan Pengasas MSU, Prof. Tan Sri Dr. Mohd Shukri Ab Yajid, manakala Pro-Canselor MSU, Prof. Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang terlibat dalam sesi yang memberi tumpuan kepada tadbir urus berimpak.
MSU berkata, penganjuran simposium itu mencerminkan komitmennya terhadap pendidikan holistik, penyelidikan gunaan, penglibatan industri, keusahawanan dan kerjasama antarabangsa.
“Dengan menghimpunkan perspektif daripada akademia, kerajaan dan industri, universiti terus menggalakkan inovasi, kemajuan inklusif serta kerjasama yang berupaya menterjemahkan komitmen kelestarian kepada impak yang bermakna,” menurut kenyataan itu.-KOSMO! ONLINE

7 hours ago
9
















































