GEORGE TOWN – Lebih 3,000 jemaah membanjiri Masjid Habib di Tanjung Tokong di sini bagi menyuburkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW menerusi Majlis Maulid Akbar Bukit Bendera Berselawat.
Presiden Pertubuhan Ummah Malaysia, Mohamed Shaiful Nizam Mohamed Ismail berkata, penganjuran program berkenaan bukan sekadar majlis memperingati kelahiran Rasulullah SAW, sebaliknya usaha menghidupkan budaya berselawat dalam kehidupan masyarakat.
Menurutnya, program dengan kerjasama Masjid Habib dan Yayasan Restu itu menghimpunkan masyarakat setempat serta jemaah dari sekitar Pulau Pinang dan negeri-negeri lain.
“Kita mahu masyarakat bukan sahaja mengenali Rasulullah SAW, tetapi mencintai Baginda, memperbanyakkan selawat serta menjadikan akhlak dan sunnah Baginda sebagai panduan dalam kehidupan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, program tersebut turut menjadi wadah untuk memperkukuhkan ukhuwah dan menyatukan masyarakat melalui majlis ilmu, selawat serta semangat persaudaraan.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima di luar jangkaan. Pada mulanya kita sasarkan 2,000 jemaah, tetapi yang hadir melebihi 3,000 orang.
“Kehadiran yang begitu memberangsangkan membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW mampu menyatukan hati dan menjadi titik temu seluruh umat,” katanya.
Jelas beliau, pihaknya berharap program seumpama itu dapat diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda di Pulau Pinang.
“Maulid Akbar Bukit Bendera Berselawat diharapkan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak program yang membawa masyarakat mendekati Rasulullah SAW melalui selawat, ilmu, akhlak dan ukhuwah,” ujar.
Majlis berkenaan dipenuhi pengisian agama termasuk selawat, bacaan maulid, tausiah dan aktiviti yang mengeratkan ukhuwah dalam kalangan umat Islam.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid selaku jemputan khas yang menyampaikan tausiah dan pengisian agama kepada para jemaah serta alunan qasidah daripada kumpulan Angham Anisah, di bawah pimpinan Ustaz Ibrahim Al-Ansari dan Gus Husaini.-KOSMO! ONLINE

22 hours ago
16
















































