Debu letusan gunung berapi Indonesia pernah sampai Malaysia

4 hours ago 3

KUALA NERANG – Debu letusan gunung berapi di Indonesia bukan perkara asing di negara ini apabila bukti geologi menunjukkan ia pernah tersebar dan meninggalkan bahan itu di beberapa kampung di kawasan Padang Sanai, dekat sini sejak puluhan ribu tahun lalu.

Deposit debu gunung berapi yang masih boleh dilihat dan dirasai itu terhasil daripada letupan terbesar Danau Toba, Sumatera di Indonesia semasa usia Kuartenari iaitu sekitar usia 74,000 tahun lampau.

Penduduk Kampung Padang Nyior, Abdul Halim Jusoh, 78, berkata, tapak kawasan debu gunung berapi di tanahnya adalah yang paling jelas boleh dilihat di kawasan tersebut.

“Lokasi debu gunung berapi itu terletak di satu kawasan tanah dekat rumah saya dan digazetkan sebagai Tapak Terpelihara Geowarisan Kedah: Debu Gunung Berapi sekitar 2015. Kawasan lain ada juga tetapi mungkin tidak seluas ini selain berselerak,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tinjauan di tapak itu mendapati terdapat papan pemakluman mengenai tapak terpelihara geologi tersebut oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Kedah/Perlis/Pulau Pinang.

Menerusi maklumat pada papan pemakluman tersebut, antara kawasan sebaran lain adalah Kampung Padang Chenerai, Kampung Kubang Palas, Kampung Baru Padang Sanai, Kampung Padang Sanai Seberang, Kampung Pisang, Kampung Pok Ka, Kampung Ulu, Kampung Padang Gelanggang dan Kampung Tanjung Seberang.

Ketebalan deposit yang dijumpai antara 1.3 meter hingga 3.5 meter dengan tekstur berbeza berbanding batu lumpur iaitu lebih ringan, berwarna putih sehingga kelabu cerah serta bersaiz halus hingga sederhana dan berkaca.

Selain Kedah, debu gunung berapi tersebut dikesan di Kota Tampan, Lenggong dan Kampung Temong, Kuala Kangsar.

Menurut Abdul Halim, dia tidak menyangka tanah yang dibelinya kira-kira 20 tahun lalu itu memiliki debu gunung berapi yang mana sebelum itu penduduk mengenalinya sebagai batu pong.

“Saya terkejut bila diberitahu ia adalah debu gunung berapi setelah ada pegawai yang datang berkunjung dan memasang papan pemakluman Tapak Terpelihara Geowarisan Kedah Debu Gunung Berapi.

“Setelah itu, ada pelancong yang datang ke tapak ini untuk melihat sendiri debu itu, namun sekarang ini kawasan ini kurang terjaga,” ujarnya.

Jelasnya, terdapat beberapa lagi lokasi di tanah miliknya itu mengandungi debu tersebut dan kebanyakan tanamannya di situ tumbuh subur.

Tambahnya, dia tidak keberatan sekiranya pihak jabatan berkaitan mahu menaik taraf kawasan itu supaya lebih sesuai dikunjungi pelancong. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |