Pemandu Porsche Macan rempuh tiga kenderaan bebas dadah, alkohol

16 hours ago 5

GEORGE TOWN – Polis mengesahkan pemandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Porsche Macan yang tular merempuh tiga kenderaan di Jalan Mount Erskine di sini, semalam bebas daripada sebarang pengambilan dadah dan alkohol.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya sebelum itu terkesan dengan satu video berdurasi 60 saat di media sosial yang memaparkan kejadian kemalangan melibatkan empat kenderaan terdiri sebuah SUV, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan dua motosikal.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 9.10 pagi itu semasa MPV jenis Toyota Avanza dari arah Mount Erskine ke Batu Uban telah dirempuh sebuah kereta Porsche Macan dari arah bertentangan.

“SUV yang dipandu lelaki tempatan berusia 32 tahun itu telah memasuki ke laluan Toyota Avanza dan seterusnya melanggar kereta berkenaan dan dua motosikal lain di laluan sama.

“Hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit pemandu SUV terbabit tidak menjumpai sebarang rekod penggunaan telefon bimbit semasa kemalangan tersebut berlaku.

“Selain itu, ujian saringan pernafasan dan urin terhadapnya (pemandu SUV) juga mendapati lelaki itu tidak memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah semasa kejadian,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, dalam kejadian tersebutm pemandu MPV iaitu lelaki tempatan berumur 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala dua penunggang motosikal berusia 33 dan 48 tahun masing-masing cedera ringan.

“Siasatan lanjut mendapati punca kejadian dipercayai pemandu SUV ingin mengelak sebuah motosikal lain yang masuk ke laluan MPV lalu hilang kawalan sehingga terlanggar kenderaan yang berada bertentangan.

“Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |