Pemandu bas nahas Genting Highlands ditahan, ada 29 saman

4 hours ago 2

BENTONG – Pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah bas dan sebuah kereta di Kilometer 15 Jalan Genting Highlands, di sini petang tadi ditahan polis bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.09 petang itu, seramai 6 mangsa cedera daripada 77 penumpang terlibat termasuk pemandu kedua-dua bas persiaran dan sebuah kereta jenis Perodua Aruz.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah bas persiaran hilang kawalan sebelum melanggar bahagian belakang Perodua Aruz dan merempuh sebuah lagi bas persiaran.

“Akibat pelanggaran tersebut, bas persiaran yang dirempuh telah hilang kawalan dan terbalik di bahu kiri jalan, manakala bas persiaran yang melanggar terbabas ke bahu kanan jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua bas persiaran itu membawa pekerja sebuah kilang elektronik di Klang, Selangor untuk tujuan bercuti di Genting Highlands.

Katanya, kemalangan tersebut menyebabkan enam mangsa mengalami kecederaan ringan membabitkan tiga warga Bangladesh, dua warga Nepal dan seorang warga tempatan.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. Tiada mangsa mengalami kecederaan parah atau kemalangan jiwa,” ujarnya.

Zaiham berkata, pemandu bas berusia 55 tahun itu ditahan selepas dipercayai memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati pemandu terbabit negatif dadah. Namun, semakan mendapati lelaki itu mempunyai 29 saman trafik pelbagai kesalahan,” ujrnya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian secara menyeluruh.

Kosmo! sebelum ini melaporkan lebih 70 penumpang melalui detik mencemaskan apabila bas yang mereka naiki terlibat kemalangan ketika menuruni Genting Highlands di Kilometer 15 Jalan Genting Highlands-Genting Sempah, di sini hari ini.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu menyaksikan sebuah bas persiaran telah hilang kawalan dan melanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Jenis Perodua Aruz sebelum melanggar sebuah lagi bas persiaran. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |