PETALING JAYA – Luahan seorang pelajar semester pertama Kolej Mara di Perak yang mendakwa hanya mempunyai baki empat sen dalam akaun bank dan tidak makan selama lebih dua hari mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Menerusi hantaran di platform Threads oleh pengguna @luvikreal, pelajar itu berkongsi kesukaran yang dihadapinya sementara menunggu elaun pengajian yang dijangka diterima pada September.
Menurutnya, ibunya menghidap penyakit buah pinggang kronik tahap akhir, manakala bapanya bekerja sebagai pelukis pelan, menyebabkan keluarganya berdepan kekangan kewangan.
“Saya pelajar semester satu. Elaun akan dapat bulan 9. Mak saya penyakit buah pinggang kronik tahap akhir, ayah saya pelukis pelan je.
“Jadi, saya berada di kolej sekarang dengan baki empat sen dalam akaun bank dan sudah lebih dua hari tidak makan apa-apa selain minum air. Doakan saya, esok kena bentang pula subjek programming,” tulisnya dalam hantaran itu.
Hantaran itu kemudian mendapat perhatian Asyraf Wajdi yang segera meninggalkan nombor telefon pegawainya di ruangan komen bagi memudahkan pelajar berkenaan mendapatkan bantuan.
“MasyaAllah, kenapa sampai tak ada duit nak makan? Tolong hubungi pegawai saya,” balas beliau.
Perkongsian itu turut meraih simpati pengguna media sosial apabila ramai tampil menawarkan bantuan kewangan dan meminta pelajar tersebut berkongsi kod QR bagi memudahkan sumbangan disalurkan.
Dalam hantaran sama, pelajar berkenaan mengucapkan terima kasih kepada Asyraf Wajdi dan semua individu yang menghulurkan bantuan.
“Terima kasih banyak kepada yang bertanya dan bagi duit kepada saya. Semoga Allah makbulkan segala hajat yang abang dan kakak impikan. Doakan saya dapat khatam hafal al-Quran tahun ini, tinggal 12 juzuk lagi,” katanya.
“Tolong dik bagi QR. Kami yang dah bekerja ini rasa bersalah awak susah belajar siang malam tapi makan tak menentu. Tak apa, makanan saja pun,” komen Syafiq.
“Semoga Allah mudahkan urusan awak untuk khatam quran,” komen Adriana. -KOSMO! ONLINE

8 hours ago
2











![[VIDEO] ‘Ramai lelaki baik mahu bantu, tetapi jangan lamar saya’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/Untitled-design-2026-07-23T110311.269.png)


![[VIDEO] Lima renjer diserang dari atas pikap ketika pemeriksaan di Narathiwat](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/07/Untitled-design-2026-07-23T105520.528.png)

































