Pegawai kanan imigresen, isteri direman kes rasuah PATI

1 day ago 7

MELAKA – Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka dan isterinya, serta dua pegawai penguat kuasa direman selepas disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah berkaitan melindungi majikan yang menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).

Kesemua empat suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun itu direman selama enam hari, bermula hari ini sehingga 11 Januari.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Sharda Shienha Mohd. Suleiman selepas permohonan reman dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Terdahulu, suspek tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 9.09 pagi dengan menaiki kenderaan khas (SPV) agensi penguatkuasaan.

Menurut sumber, dua daripada suspek yang merupakan penguat kuasa JIM dipercayai menerima wang suapan secara bulanan bernilai RM20,000 daripada majikan atau syarikat sekitar Melaka sebagai balasan untuk melindungi premis terbabit serta tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan menggaji PATI.

“Seorang wanita yang merupakan isteri kepada salah seorang penguat kuasa terbabit berusia 37 tahun turut ditahan selepas disyaki bersubahat dengan suaminya dalam kegiatan rasuah berkenaan termasuk membantu mengurus serta menerima wang suapan daripada majikan-majikan terbabit.

“Pembayaran wang suapan tersebut dipercayai dibuat secara tunai melalui serahan tangan dan juga melalui transaksi akaun bank antara 2021 hingga 2025,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Tambahnya, seorang lagi penguat kuasa ditahan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah keseluruhan RM1,950 daripada seorang pengurus di salah sebuah restoran di Melaka sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap PATI yang diambil bekerja awal tahun lepas.

“Kesemua suspek telah ditahan di pejabat SPRM Melaka antara pukul 11.50 pagi hingga 4.50 petang, semalam,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau turut memaklumkan bahawa kes itu merupakan hasil kerjasama risikan dan operasi bersama Polis Diraja Malaysia.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |