KUALA LUMPUR – Sebuah premis perindustrian terbiar di Cheras yang dijadikan makmal memproses pil ekstasi dan MDMA diserbu polis sehingga membawa kepada penahanan tujuh individu serta rampasan dadah dan sitaan bernilai RM136.27 juta dalam operasi pada 20 Jun lalu.
Dalam Op Horitus yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu, enam lelaki tempatan dan seorang wanita warga China berusia antara 22 hingga 55 tahun diberkas menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar ibu negara.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama di sebuah rumah di Taman Cheras Utama berjaya menahan lima suspek.
Katanya, polis turut merampas tiga bungkusan disyaki serbuk MDMA seberat 26.40 kilogram dan 44 bungkusan pil ekstasi seberat 75.41 kilogram.
“Serbuan kedua dijalankan ke atas sebuah Toyota Alphard yang diparkir di kawasan Pudu Impian IV sebelum berjaya menahan dua lagi suspek serta merampas satu peket plastik disyaki ketamin seberat lima gram.
“Susulan itu, serbuan di sebuah premis perindustrian terbiar di Cheras Baharu menemukan 13 bungkusan pil ekstasi seberat 95.80 kilogram, 11 bungkusan serbuk MDMA seberat 48.42 kilogram serta 760 liter cecair MDMA,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, keseluruhan rampasan membabitkan 97.1 kilogram pil ekstasi, 47.12 kilogram serbuk MDMA, 760 liter cecair MDMA dan lima gram ketamin dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM135.63 juta.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak November tahun lalu dengan mendapatkan bahan prekursor untuk memproses dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis turut menyita pelbagai aset bernilai kira-kira RM644,000 mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, termasuk lima kenderaan, wang tunai RM26,800 dan beberapa barangan kemas.
“Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bagi operasi ini dianggarkan RM136.27 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE

2 hours ago
5










![[VIDEO] ‘Tujuh hari terasa panjang, banyak ruang kosong’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/nancy.jpeg)






































