Hampir tiga dekad menghambakan diri dalam industri seni, Noorkhiriah bukan sekadar pelakon biasa, dia hadir dengan impak tersendiri, adakala menggeletek hati bahkan menikam nurani khalayak juga menjadi gaya forte setiap watak yang digalasnya.
Dari karakter berat berair mata, hingga ke peranan gila-gila mencuit hati, semuanya dijayakan dengan penuh jiwa.
Puluhan naskhah telah menyaksikan keunggulannya sebagai pelakon yang memiliki kelas tersendiri.
Kredibilitinya bukan calang-calang, malah sering menjadi sandaran pengarah bagi naskhah berkualiti.
Terbaharu, nama Noorkhiriah kembali meledak menerusi naskhah drama rantaian Seribu Tahun, bergandingan dengan aktor Azhan Rani yang seumpama bertemu buku dengan ruas.
Tidak sekadar drama biasa, Seribu Tahun menjadi medan ujian ketahanan emosi dan kepakaran lakonannya.
Membawa watak Nor, seorang isteri lembam yang tidak mampu melahirkan anak kerana menghidap sindrom Turner, pemilik nama sebenar nama penuh Noorkhiriah Ahmad Shapie itu berdepan cabaran besar.
Karakter itu kompleks sehingga menuntutnya berguru semula dan menyertai kelas lakonan bagi mencapai penghayatan terbaik.

“Jujurnya, susah sangat, saya sampai masuk kelas lakonan dengan Fatimah Abu Bakar. Alhamdulillah, barulah dapat mendalami watak sebab karakter ini sesuatu yang baharu buat saya.
“Walaupun pernah membawa watak lebih kurang dalam Kerana Cintaku Saerah, kali ini pengarah Shahrulezad Mohameddin mahu saya mematangkan lagi lakonan. Tak mudah untuk menghidupkan karakter individu berstatus orang kurang upaya (OKU).
“Watak Nor ada penyakit sindrom Turner dan tak boleh mengandung. Mula-mula saya bingung juga nak bawa macam mana. Hampir pecah kepala juga nak berlakon, sebab itu saya masuk kelas lakonan,” katanya kepada HibGlam.
Menyelami cabaran sepanjang membawakan watak berat itu, aktres berusia 49 tahun itu mengakui kesukaran paling besar adalah mengekalkan konsistensi emosi.
Setiap babak memerlukan penghayatan mendalam hingga ada momen yang benar-benar menyentuh jiwa.
“Cabarannya, selain mendalami, watak ini perlu dikawal supaya tak berlebihan. Watak Nor bukan diri saya, jadi bila ‘break’ keluar daripada karakter dan perlu masuk semula ke dalam emosi itu, memang sukar.
“Mujur saya dapat regu lakon, pengarah dan produksi yang sangat membantu, jadi semuanya berjalan lancar. Tambahan pula, terlalu banyak babak yang buat saya sebak.
“Antaranya, babak berzikir ketika Nor menyebut kepada suaminya, ‘berzikirlah banyak abang, zikir ini makanan orang susah, semua ini akan buat kita kenyang’,” ujarnya.
Mengulas keistimewaan watak tersebut, pemenang Pelakon TV Komedi Terbaik (Telefilem) Anugerah Seri Angkasa 2022 itu menyifatkan Nor sebagai lambang kekuatan, kesetiaan dan pengorbanan wanita.
Tidak bersuara lantang, tetapi setiap perbuatannya penuh makna, membisikkan sejuta rasa kepada yang memahami.
“Nor seorang lembam, tapi hatinya sangat lembut, dia sanggup berkorban apa sahaja untuk suami kerana dia hanya ada suaminya di dunia ini.
“Mesej daripada wataknya juga sangat besar, tentang doa, ketaatan, kasih sayang dan pengorbanan. Mereka pasangan penuh kekurangan tetapi saling melengkapi,” tuturnya.
Paling penting kata anak jati Pahang itu, watak tersebut sangat bermakna buatnya dan berterima kasih kepada pengarah kerana sudi menawarkannya membawa watak sekompleks itu.
“Saya sayang sangat watak Nor. Bila bercakap tentang Nor, hati saya jadi tersentuh. Dalam usia begini, saya bersyukur diberi watak sebegitu.
“Terima kasih kepada Allah dan pengarah Shahrulezad, Dalam ramai-ramai pelakon bagus di Malaysia, beliau nampak akak. Mungkin ada sesuatu Allah nak bagi yang kita tak tahu,” tutupnya.