PETALING JAYA – Anak kepada bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi meluahkan rasa kecewa selepas mendakwa dirinya dilabel sebagai ‘spy’ ketika turun membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, baru-baru ini.
Omar menerusi satu hantaran di laman Facebook berkata, dia hadir ke Johor pada Sabtu lalu semata-mata bagi membantu kemenangan parti, namun didakwa dimaklumkan oleh seorang Ahli Jawatankuasa Bahagian bahawa kehadirannya dianggap menyusahkan parti.
Katanya, dia turut dimaklumkan terdapat pihak yang menganggap dirinya sebagai ‘spy’ kepada bapanya, selain mendakwa terdapat arahan supaya gambar yang memaparkannya bersama calon dikeluarkan daripada bahan kempen.
“Saya hanya datang dengan niat untuk membantu kemenangan parti. Namun saya dimaklumkan kehadiran saya dikatakan menyusahkan parti dan ada yang menganggap saya sebagai ‘spy’ kepada ayah saya.
“Malah, saya juga dimaklumkan terdapat arahan supaya sekiranya ada hantaran calon yang memaparkan gambar saya, ia perlu dikeluarkan,” katanya.
Menurut Omar, dia menghormati keputusan bapanya yang meninggalkan UMNO sebelum ini, namun memilih untuk kekal bersama parti kerana mempunyai pendirian dan perjuangan sendiri.
“Saya masih ahli UMNO. Saya masih sayangkan UMNO dan saya tetap berharap parti ini menjadi lebih terbuka, matang serta mampu merangkul lebih ramai anak muda, bukannya menjauhkan mereka.
“Saya tidak akan membalas dengan kebencian. Perjuangan bukan diukur pada jawatan, tetapi pada keikhlasan untuk berkhidmat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Omar berharap budaya melabel dan menghukum dapat dihentikan kerana ia hanya akan merugikan parti.
“Terus terang, saya jadi takut untuk turun lagi membantu kempen kerana bimbang dihukum bahawa saya menjadi punca calon kalah.
“Kalau kita terlalu mudah menghukum kesetiaan seseorang dan terlalu cepat melabel orang sebagai musuh atau ‘spy’, bagaimana kita mahu menarik lebih ramai anak muda menyertai UMNO?,” katanya.
Terdahulu Mohd Puad dilihat turun berkempen dan menyatakan sokongan kepada calon PH bagi DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik, sebelum kemudian muncul pula di program PH di Johor.
Bagaimanapun, Omar memilih untuk kekal bersama UMNO dan turun sebagai petugas parti, termasuk ketika membantu kempen calon BN di DUN Senggarang – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
7







































![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)








