PETALING JAYA – Sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) kini mula beroperasi sebagai sistem kecemasan generasi baharu negara bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih pantas, tepat, moden dan inklusif kepada rakyat.
Sistem yang mula beroperasi sejak kelmarin, dibangunkan hasil kerjasama strategik Kementerian Komunikasi (KK), Telekom Malaysia Berhad (TM).
Lima agensi kecemasan utama juga turut terlibat iaitu Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim (Maritim Malaysia).
Dalam kenyataan bersama hari ini, KKM, KK dan TM memaklumkan mereka telah menerima laporan berkaitan perkhidmatan ambulans, namun menjelaskan insiden itu bersifat terpencil.
Jelasnya, perkara tersebut ditangani secara serius memandangkan setiap panggilan kecemasan melibatkan nyawa dan kesejahteraan rakyat.
“Semakan teknikal TM mengesahkan sistem NG MERS 999 beroperasi seperti biasa. NG MERS 999 menggunakan prinsip ‘nearest available’ bagi penyaluran kes kecemasan.
“Ia sekali gus memastikan aset kecemasan terhampir dapat digerakkan secepat mungkin ke lokasi insiden,” katanya.
Tambah kenyataan itu, pada masa sama, keupayaan respons di lapangan diperkukuh melalui penambahan ambulans, penyusunan semula penugasan petugas di kawasan strategik.
Katanya, selain itu penglibatan badan sukarela seperti Bulan Sabit Merah Malaysia, St. John Ambulans Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan sebagai sebahagian daripada rangkaian respons kecemasan negara.
Sementara itu, kenyataan tersebut berkata penilaian berterusan terhadap koordinasi dan ketersediaan aset turut dilaksanakan bersama agensi kecemasan berkaitan bagi memastikan sistem baharu itu benar-benar memberi impak kepada kelancaran operasi di lapangan.
“Dalam masa yang sama, perkhidmatan talian 999 melalui panggilan suara disahkan kekal berfungsi sepenuhnya dan boleh digunakan seperti biasa oleh orang ramai.
“NG MERS 999 turut dilengkapkan dengan aplikasi SaveME999 sebagai saluran tambahan, khususnya bagi pengguna yang memerlukan ciri komunikasi melalui teks, video dan multimedia, seiring usaha meningkatkan keberkesanan serta keterangkuman perkhidmatan kecemasan,” ujarnya.
TM pula akan terus memperkukuh keupayaan sistem dan aplikasi NG MERS 999 merangkumi aspek perisian serta proses teknikal berkaitan, bagi memastikan prestasi dan pengalaman operasi yang lebih lancar kepada semua agensi kecemasan yang bergantung kepada platform itu. – KOSMO! ONLINE

11 hours ago
5













![[VIDEO] Terlepas ‘ajal’ sesaat, ramai tertanya apa amalan abang motosikal](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/11/WhatsApp-Image-2025-11-18-at-9.11.15-PM.jpeg)



































