PETALING JAYA – Budaya belajar di kafe mencetuskan pelbagai reaksi selepas seorang pelanggan mendakwa ditegur supaya memperlahankan suara ketika berbual kerana terdapat pelajar yang sedang mengulang kaji.
Menerusi hantaran dimuat naik oleh @Mdam1r di laman Threads, dia menegaskan bahawa kafe seperti premis minuman kopi bukanlah tempat untuk belajar dalam suasana senyap, sebaliknya lokasi untuk pelanggan berbual dan meluangkan masa bersama rakan-rakan.
“Pelajar yang mahu mengulang kaji dalam suasana senyap sepatutnya pergi ke perpustakaan. Kafe pula ialah tempat orang berbual dan bersantai bersama rakan-rakan. Kami pula diminta diam apabila bercakap dengan kuat. Pihak kafe sepatutnya mengambil tindakan terhadap perkara seperti ini,” katanya.
Ruangan komen turut dibanjiri pandangan pengguna media sosial yang berpandangan bahawa kafe merupakan ruang awam dan pelanggan tidak seharusnya mengharapkan suasana yang sama seperti di perpustakaan.
Seorang pengguna, @Littlemiss.ana, berpendapat lebih banyak kafe boleh menyediakan ruang khas untuk tujuan pembelajaran atau perbincangan berkumpulan, namun pelanggan juga tidak sepatutnya bertindak menyuruh orang lain supaya senyap di tempat awam.
“Lebih baik jika ada lebih banyak kafe yang menyediakan ruang khas untuk belajar atau perbincangan berkumpulan. Namun, pelanggan juga tidak boleh menganggap tempat awam itu seperti milik sendiri sehingga menyuruh orang lain diam,” katanya.
Sementara itu, pengguna @Lililithisthename0909 berkata tidak menjadi kesalahan untuk belajar di kafe, namun mereka yang memilih lokasi tersebut perlu bersedia dengan suasana yang lebih bising.
“Jika mahu mengulang kaji dalam keadaan benar-benar senyap, pergilah ke perpustakaan. Kafe ialah tempat awam yang sememangnya dipenuhi perbualan pelanggan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
7







































![[VIDEO] Siapa ‘kait’ seluar dalam orang di Jempol?](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/03/WhatsApp-Image-2026-03-10-at-9.27.15-PM.jpeg)








