Nabil, Radin, Azad kembali ke udara esok

2 days ago 9

PETALING JAYA – Selepas sebulan digantung tugas, tiga penyampai radio Era iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin bakal kembali ke udara esok pagi.

Berdasarkan hantaran Instagram Era FM, mereka bakal mengisi semula kekosongan segmen 3 Pagi Era yang dikendalikan sebelum ini.

“Akan kembali, simpan tarikh ini.

“Hari Isnin, 7 April pada pukul 6 pagi bersama geng 3 Pagi Era,” katanya.

Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen turut teruja dengan kemunculan semula tiga penyampai radio tersebut.

Malah, ada juga individu berbangsa India menyambut baik pengumuman tersebut.

“Sebagai pendengar berbangsa India, saya ucapkan selamat kembali kepada Azad, Nabil dan Radin.

“Marilah kita saling menyokong antara satu sama lain dan berhati-hati dengan setiap kata-kata kerana boleh mencetuskan salah faham atau menjejaskan keharmonian yang dimiliki.

“Saya doakan yang terbaik untuk kemunculan semula anda. Hiburkan kami, berikan inspirasi tetapi yang paling penting terus menyatukan semua pihak,” ujarnya dalam ruangan komen.

Terdahulu, kekosongan penyampai bagi segmen 3 Pagi Era hari ini diisi oleh Munabella, Namie, Sharifah Shahirah dan Haziq Husni.

Terdahulu, tiga penyampai radio segmen berkenaan terpalit dengan kontroversi berkaitan sebuah video tular memaparkan salah seorang daripada mereka menari yang dianggap mempersendakan agama lain.

Meski dihambat kecaman, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa lesen penyiaran Maestra Broadcast Sdn. Bhd., pengendali stesen radio Era FM tidak digantung.

Walau bagaimanapun, Maestra Broadcast Sdn. Bhd. dikenakan kompaun sebanyak RM250,000, bagi kesalahan di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (selepas pindaan berkuat kuasa 11 Februari 2025), iaitu memuat naik kandungan jelik melampau di akaun rasmi TikTok Era FM. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |