mySalam dekati pelajar IPT dengan BijakWang Challenge

9 hours ago 6

KUALA TERENGGANU – Skim perlindungan kesihatan sosial, mySalam memperkasa pengetahuan pengurusan kewangan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan menerusi penganjuran BijakWang Challenge.

Ketua Perniagaan Takaful Korporat dan Kumpulan B40 Great Eastern Takaful, Syuhaib Ithnin berkata, pertandingan berbentuk permainan interaktif siri pertama pada tahun ini tersebut bertujuan membantu melahirkan generasi muda yang lebih celik kewangan

“Cabaran kewangan pada masa ini semakin kompleks namun pendidikan perancangan kewangan masih belum diajar secara meluas di IPT. mySalam mengambil pendekatan membantu generasi muda celik kewangan secara interaktif, menyeronokkan dan mudah difahami,” katanya.

Pertandingan anjuran mySalam yang diuruskan oleh Great Eastern Takaful Berhad dengan kerjasama Financial Education Network itu diadakan sempena Karnival Celik Kewangan Terengganu di Mayang Mall, semalam.

Syuhaib berkata, mySalam berhasrat untuk menganjurkan BijakWang Challenge berskala besar melibatkan pelajar IPT di peringkat kebangsaan berikutan kejayaan edisi Terengganu kali ini.

Pelajar tahun dua Sarjana Muda Pengurusan Pentadbiran Kewangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Rafshan Danish Rushidi, 22, muncul juara dengan menggondol ganjaran wang tunai RM5,000.

SYUHAIB (kanan) bersama Rafshan Danish (tiga dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Mohd. Radzuan Mohamed (kiri), Pengarah Financial Education Network, Nor Rafidz Nazri pada pertandingan BijakWang Varsity Challenge anjuran MySalam.

Sebahagian RM2,000 daripada wang kemenangan tersebut akan diserahkan kepada pengurusan UiTM Dungun untuk menjalankan program advokasi kewangan.

Tempat kedua pula dimenangi Izmar Alfi Zamri (UiTM Bukit Besi) manakala Syabil Naufal Ramlan (UiTM Kuala Terengganu) dan Muhammad Azmin Abdullah (Universiti Sultan Zainal Abidin) pula masing-masing tempat ketiga dan keempat.

Sehingga 21 Jun lalu, lebih 2 juta penerima telah menerima manfaat dengan jumlah bayaran tuntutan melebihi RM1.48 bilion.

Orang ramai juga boleh mendapatkan bantuan secara langsung di kiosk mySalam yang berada di semua hospital kerajaan untuk melancarkan proses tuntutan selain melayari www.mysalam.com.my untuk informasi lanjut. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |