SEPANG – Bekas juara dunia MotoGP, Jorge Lorenzo mengakui pencabar Ducati berdepan cabaran besar musim depan selepas pengeluari itu dikatakan melakukan lonjakan ketara menerusi jentera GP26 sepanjang ujian pramusim di Litar Antarabangsa Sepang.
Ducati sebelum ini mendominasi musim 2025 dengan memenangi 17 daripada 22 perlumbaan, namun kelemahan pakej GP25 membuka ruang kepada pasukan lain seperti Aprilia untuk merapatkan jurang.
Namun, Lorenzo percaya kelebihan itu kini kembali memihak Ducati selepas melihat prestasi konsisten jentera baharu mereka sepanjang tiga hari ujian.
“Ducati telah membuat satu langkah besar ke depan. Langkah yang sangat kuat,” kata Lorenzo ketika diminta menilai keputusan ujian tersebut.
Menurut pelumba berusia 38 tahun itu, kelebihan utama Ducati dapat dilihat menerusi kestabilan jentera ketika mengambil selekoh dan keluar selekoh pada sudut maksimum.
“Dari tepi litar, anda boleh lihat Ducati sangat lancar terutamanya ketika keluar selekoh. Mereka kekal stabil walaupun pada sudut maksimum dengan bukaan pendikit kecil,” katanya.
Lorenzo menambah jentera lain kelihatan lebih ‘gelisah’ berbanding Ducati, sesuatu yang turut diterjemahkan menerusi simulasi perlumbaan pecut oleh Alex Marquez, Marc Marquez dan Francesco Bagnaia.
Meskipun mengakui keputusan ujian hanya berdasarkan satu litar dan jurang boleh berubah di litar lain, Lorenzo tetap melihat Ducati memulakan musim dengan kelebihan jelas.
“Ini baru satu litar, mungkin KTM dan Aprilia boleh rapat di tempat lain. Tetapi permulaan Ducati sangat kuat,” katanya.
Lorenzo menyimpulkan Ducati seakan menuai hasil kerja keras yang disimpan sejak musim lalu, sekali gus menghantar isyarat awal bahawa pencabar perlu bekerja lebih keras jika mahu menggugat dominasi mereka. – AGENSI

19 hours ago
5



![[VIDEO] Buka pintu mengejut: Nahas babit enam kenderaan, dua cedera](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-5.57.13-PM-1.jpeg)








![[VIDEO] Gempar, pocong Kampung Parit Kasa akhirnya ditangkap](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-08-at-13.50.36.jpeg)




































