KUALA LUMPUR – Impian Hakim Danish Ramli untuk meraih podium kedua berturut-turut dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (Moto3) tidak kesampaian apabila akur menamatkan Grand Prix (GP) Belanda di Litar TT Assen di kedudukan ketujuh, sebentar tadi.
Hakim Danish pada mulanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-10, namun keputusan rasmi menyaksikan pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu dinaikkan tiga anak tangga selepas beberapa pencabar lain dikenakan penalti.
Pada perlumbaan tersebut, pelumba dari Terengganu itu memulakan perlumbaan dengan agresif apabila melonjak ke tangga kelapan seawal pusingan kedua biarpun bermula di petak ke-16.
Hakim Danish terus memperbaiki kedudukan setiap pusingan dan akhirnya menghuni tangga kedua pada pusingan ketujuh selepas memintas pelumba Indonesia, Veda Pratama.
Persaingan di kelompok hadapan berlangsung cukup sengit apabila kedudukan sentiasa berubah-ubah dan Hakim Danish beberapa kali bertukar posisi dengan David Almansa dan Maximo Quiles, malah sempat kembali berada di tangga kedua pada pusingan ke-11.
Ketika berbaki lima pusingan, Hakim Danish dilihat berada di landasan terbaik untuk menaiki podium, namun serangan bertali arus daripada pencabar lain pada tiga pusingan terakhir menyaksikan beliau dipintas beberapa pelumba sebelum akur menamatkan perlumbaan tempat ketujuh keseluruhan.
Walaupun gagal mengulangi kejayaan muncul juara di Grand Prix Republik Czech minggu lalu, keputusan di Assen tetap menghadiahkan kutipan sembilan mata berharga buat Hakim Danish.
Pelumba CFMOTO Gaviota Aspar Team, Maximo Quiles yang menamatkan perlumbaan dalam masa 33:51.800s dan David Almansa dari Liqui Moly Dynavolt Intact GP muncul naib juara dengan jurang 0.513s, manakala rakan sepasukan Quiles, Marco Morelli melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga, ketinggalan 2.433s.
Hasil keputusan itu, Hakim Danish kini menghuni tangga keenam keseluruhan Kejuaraan Dunia Moto3 dengan mengumpul 82 mata, berkongsi mata dengan Veda Pratama yang berada di kedudukan ketujuh.
Hakim Danish turut berada di kedudukan kedua dalam carta Rookie of the Year dengan 82 mata, hanya 20 mata di belakang pendahulu dari Sepanyol, Brian Uriarte. -KOSMO! ONLINE

1 hour ago
3

















































